My Add

Sunday 23 September 2012

Turunkan kadar cukai individu

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
KUALA LUMPUR, SABTU, 22 September, 2012: Rakyat pelbagai lapisan menaruh harapan besar agar kebajikan mereka diberi perhatian menjelang pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini.

Seorang pemandu, Aziz Baharom, 50, berharap, kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan individu dan korporat yang dilihat membebankan.

"Kadar cukai pendapatan sekarang agak tinggi iaitu korporat sebanyak 25 peratus dan individu 26 peratus amat membebankan rakyat ditambah pula kenaikan harga barangan di pasaran.

"Berapa sangatlah baki gaji saya jika dipotong cukai untuk menampung perbelanjaan asas diri sendiri dan keluarga," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Bagi eksekutif kanan di sebuah syarikat korporat di ibu negara, Haniff Sulaiman, 49, kerajaan wajar menaikkan potongan cukai untuk isteri yang tidak bekerja dan anak-anak kerana kos menyara keluarga sekarang terlalu tinggi.

Menurut beliau, kos persekolahan anak-anak amat membebankan apalagi dengan yuran tadika, tuisyen dan makanan termasuk susu yang melambung naik.

''Gaji bulanan lebih RM8,000 sekarang ini tidak menjamin sesebuah keluarga itu hidup senang ekoran kos hidup yang serba mahal.

''Kerajaan perlu mengurangkan kadar cukai untuk golongan seperti kami,'' tegasnya.

Abas Hasan, 68, yang bekerja sendiri, kerajaan harus lebih peka terhadap kebajikan persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) kerana mereka turut berperanan sebagai pemangkin sosioekonomi negara.

"Persatuan seperti nelayan, pekebun kecil dan sebagainya jika dijana mampu memberi pulangan berganda kepada ekonomi negara," ujarnya.

Seorang jururawat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hamimi Abas, 28, pula berharap, kerajaan meneruskan Skim Rumah Pertamaku dan menilai semula harga rumah kos rendah.

"Hakikatnya harga rumah naik 10 hingga 20 peratus setahun tidak kira rumah itu baru dibina atau penjualan rumah sekunder.

"Melihat kepada pasaran sekarang, rata-rata rumah yang dijual melalui projek perumahan baru, harga sesebuah rumah teres bermula RM400,000 dan ke atas dan ia tidak memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Yusaini Abd. Karim, 29, Jurupulih Perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, berpendapat, harga petrol ditetapkan kerajaan adalah terlalu tinggi.

"Walaupun harga petrol sebanyak RM1.90 seliter merupakan satu angka kecil tetapi jika dikira-kira, gaji saya banyak dihabiskan untuk mengisi minyak kenderaan selain menanggung keluarga.

"Jarak perjalanan yang jauh antara tempat kerja dengan tempat tinggal menjadi antara faktor bebanan tersebut. Minyak RM50 hanya mampu bertahan untuk empat hari sahaja," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment