My Add

Friday 21 September 2012

UIAM bongkar cubaan ganggu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 September, 2012: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini mendedahkan penyebaran sepucuk surat palsu oleh pihak tertentu bagi mengganggu gugat keharmonian pilihan raya kampus, kononnya wujud konspirasi dalaman pada sesi pemilihan perwakilan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2012/2013.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz berkata, berdasarkan ayat yang terkandung dalam surat berunsurkan fitnah itu, ia dilihat lebih menjurus kepada perbuatan promahasiswa berikutan hasrat ingin melakukan pendedahan agar umum mengetahui wujudnya agenda muslihat jahat sempena pilihan raya ini.

Sehubungan itu katanya, UIAM memandang serius perbuatan tersebut yang dilihat sengaja mencipta persepsi negatif terhadap universiti kononnya tidak adil dan telus dalam pilihan raya kampus.

"Perbuatan itu jelas berniat jahat untuk mengeruhkan suasana aman pilihan raya kampus, memberi imej dan reputasi buruk terhadap universiti selain membabitkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Majlis Syura UIAM percaya pembohongan ini adalah usaha mereka yang ada kaitan dengan pihak pembangkang untuk mencetus provokasi dalam kampus berikutan pilihan raya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar khas Pilihan Raya Kampus UIAM dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman dan Penolong Pengarah Perhubungan Media dan Promosi, Subki Ahmad.

Menurut Baharuddin, penyebaran tersebut dipercayai mula disebarkan dalam kampus dan telah dimuat naik dalam laman sosial Facebook dan blog sejak tiga hari lalu.

Katanya, surat berkenaan jelas palsu berdasarkan beberapa pemerhatian pihaknya seperti protokol penulisan, tiada cop penerimaan daripada pejabat rektor serta format tanda tangan daripada pihak Perdana Menteri termasuk penggunaan logo rasmi UMNO.

"Malahan, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin sendiri mengakui tidak pernah sama sekali menerima sebarang surat yang bertujuan menjayakan projek Ops 2020 daripada Perdana Menteri.

"Justeru, majlis bersepakat membuat laporan di Balai Polis Gombak hari ini bagi tindakan perundangan terhadap mereka terlibat yang jelas tidak bertanggungjawab melakukan kerja pembohongan sedemikian," katanya lagi.

Baharuddin memberitahu, tindakan drastik berbentuk disiplin dan jenayah akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyiar, mengedar ataupun memuat naik surat berkenaan di laman web dan blog tertentu.

"Tindakan susulan turut dilakukan bersama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan terperinci termasuk menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu terlibat.

"Pihak tidak bertanggungjawab yang gagal mengikuti lunas-lunas, prinsip serta etika pilihan raya kampus akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya didapati bersalah," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment