My Add

Wednesday 19 September 2012

Universiti khusus untuk sukan perlu diwujudkan: Razali Ibrahim

SHAH ALAM, RABU, 19 September, 2012: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, berkata sebuah universiti khusus untuk sukan perlu diwujudkan bagi memberi manfaat kepada atlit negara dan generasi akan datang.

Beliau berkata, cadangan itu penting untuk dilaksanakan bagi melengkapkan pembangunan sukan dalam negara dan perkara itu sudah dibincangkan di mesyuarat peringkat kementerian. 

"Sebagai permulaan, kementerian sedang melihat untuk mengadakan program berkembar dengan universiti sukan di luar negara bagi mengadaptasikan model digunakan di universiti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata kementerian menerusi program berkembar bakal mengadaptasikan model digunakan Universiti Sukan Kebangsaan Korea (KNSU), satu-satunya universiti sukan di Korea Selatan.

Media melaporkan universiti itu menjadi pilihan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) berikutan kecemerlangan universiti itu melahirkan pemenang pingat di Sukan Olimpik yang lalu dan juga tenaga pengajarnya yang hampir semuanya menggunakan khidmat bekas atlit.

Sementara itu, Razali yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, Pemuda UMNO akan mendekati seramai 130,000 mahasiswa yang berminat berpolitik di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya akan mengagihkan senarai mahasiswa itu mengikut kawasan Parlimen sebagai salah satu usaha Pemuda UMNO untuk membentuk barisan pemimpin pelapis dalam UMNO.
Razali bagaimanapun berkata, perkara itu hanya akan dibuat selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda sepenuhnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment