My Add

Wednesday 26 September 2012

Usul kecam filem anti-Islam dilulus

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 September, 2012: Ahli-ahli Dewan Rakyat sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem anti-Islam, Innocence of Muslims dan penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah di Perancis.

Ketetapan itu dibuat selepas Dewan Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee bersetuju membahaskan usul bagi mengecam penerbitan filem dan karikatur berkenaan melalui Peraturan Mesyuarat 18 (1).

Kerajaan juga berpendapat alasan penghasilan filem dan karikatur tersebut serta kegagalan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Perancis menghalang penerbitan kononnya, atas dasar kebebasan bersuara adalah satu penipuan selain bukti dasar hipokrit yang tidak boleh diterima sama sekali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sikap hipokrasi negara barat khususnya AS, adalah jelas kerana alasan kebebasan bersuara hanya diguna ke atas agama Islam tetapi menyediakan perlindungan undang-undang jika ia membabitkan Yahudi.

Serentak dengan itu, beliau berkata, kerajaan membuat ketetapan mengharamkan sebarang bentuk penayangan filem Innocence of Muslims di YouTube di negara ini, selain tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk tayangan jika ada pihak yang mahu berbuat demikian.

Jelasnya, sebagai bukti ketegasan dan bantahan kerajaan terhadap karya biadab tersebut, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 324 pautan siaran filem itu di YouTube.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya filem yang menjadi punca kemarahan umat Islam sehingga mencetus siri bantahan di seluruh dunia. Penerbitan filem ini dan kegagalan negara barat menyekat kononnya atas alasan kebebasan bersuara adalah satu penipuan dan hipokrit.

"Malaysia berpendapat kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan bukan memperalatkannya untuk menghina kesucian sesebuah agama seperti yang dilakukan penerbit filem Innocence of Muslims ini," katanya semasa menggulung usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) itu dibawa Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) dan disokong sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen sama ada dari Barisan Nasional (BN), pembangkang dan juga konsensus Bebas, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Menurut Salahuddin, AS harus bertanggungjawab dan Parlimen Malaysia mesti berdiri secara solidariti untuk menyelesaikan isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan agama Islam agar kejadian serupa tidak berulang.

Kenyataan itu kemudian disokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang menyeru seluruh umat Islam bangkit menentang sesiapa sahaja yang menghina Rasulullah SAW serta nabi tetapi menegaskan ia mesti dilakukan secara berhemah dan bukan menerusi keganasan.

Turut tampil mengutuk penerbitan filem tersebut ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.

Anwar menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya membuat ketetapan dengan segera manakala Guan Eng pula menyifatkan penerbitan filem itu sebagai mencabuli prinsip asas dalam bermasyarakat yang melarang penghinaan ke atas mana-mana agama.

Sementara itu, wakil BN, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau menganggap filem Innocence of Muslims adalah karya jijik yang tidak layak untuk dijulang atas nama kebebasan bersuara kerana ia secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Turut menyatakan bantahan ialah Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit)yang mewakili penganut Kristian, Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam)mewakili penganut Buddha dan P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) yang mewakili penganut Hindu.

Konsensus Bebas pula diwakili Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang mahu semua pihak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan menolak budaya demokrasi AS yang cuba diperjuangkan pihak-pihak tertentu di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment