My Add

Wednesday 26 September 2012

Warga Nigeria dihukum gantung bersalah edar syabu di KLIA

SHAH ALAM, RABU, 26 September, 2012: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Nigeria kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 1.43 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 2011.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu ke atas Hendry Nwaorah, 33, seorang peniaga yang didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di balai ketibaan KLIA pada 6 Jun 2011.

Beliau menyifatkan sebagai tidak munasabah pembelaan Nwaorah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan terdapat dadah disorok di dalam empat omboh yang kotor dan berminyak yang dibawanya dalam dua beg plastik menerusi penerbangan dari Lagos, Nigeria ke Doha, Qatar sehingga tiba di Malaysia.

Dalam pembelaannya, Nwaorah berkata, dia dijanjikan AS$4,000 tiket kapal terbang serta penginapan hotel bagi membawa omboh-omboh itu kononnya daripada seorang lelaki di Nigeria yang dikenali sebagai Chubi.

Tertuduh mendakwa dia menerima tawaran itu kerana dia miskin dan berstatus orang kurang upaya selain memerlukan wang untuk mengebumikan mayat ibunya.

Noor Azian berkata, jika tertuduh seorang yang munasabah, dia perlu bertanya mengapa Chubi tidak menghantar sahaja omboh-omboh itu menggunakan kurier atau Chubi sendiri menghantar barangan itu ke Malaysia. 

Tawaran Chubi itu sepatutnya menimbulkan syak kepada Nwaorah, katanya.

Noor Azian berkata pembelaan Nwaorah, yang juga didapati datang ke Malaysia
dengan hanya beg yang memuatkan omboh-omboh itu tanpa membawa beg pakaian, gagal membangkitkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan terlibat dalam perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zuraidah Zakaria manakala tertuduh diwakili V. Samynathan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment