My Add

Tuesday 23 October 2012

198 ketua isi rumah mangsa kebakaran terima bantuan

SEMPORNA, SELASA, 23 Oktober, 2012:: Seramai 198 ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Selamat dekat sini hari ini diberi bantuan berupa wang tunai dan makanan bagi meringankan beban 1,455 orang anggota keluarga mereka.

Bantuan yang disumbangkan pelbagai agensi kerajaan seperti Risda, Mara, Kemas, Felda serta individu itu disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Masyarakat Semporna. 

Mengulas mengenai bantuan berkenaan, Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata, ia diharap dapat meringankan beban mangsa kebakaran yang kebanyakannya terdiri daripada pelarian perang Filipina dan pemegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan penduduk tempatan.

"Kita berharap bantuan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mangsa kebakaran ini. Kita akan cuba mencari penyelesaian untuk menempatkan mereka di tempat-tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan.

Menurut Shafie kawasan kebakaran itu sudah digazetkan untuk UNHCR sebagai penempatan pelarian perang Filipina pada tahun 1970-an dan dengan itu diharap bahagian keselamatan negara akan dapat membantu menyelesaikan penempatan semula mangsa di situ.

Bagi penduduk tempatan yang menjadi mangsa dalam kebakaran pada 18 Oktober lalu itu, Shafie berkata pihaknya akan berusaha membantu menempatkan mereka di tempat yang sesuai.

Bagi mangsa yang kehilangan dokumen peribadi akibat kebakaran berkenaan, Shafie menasihatkan mereka supaya segera membuat laporan polis bagi memudahkan mereka berurusan dengan agensi berkaitan seterusnya memperoleh semula dokumen mereka yang musnah. 

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Zahar Amir, 42, berkata beliau bersyukur dengan bantuan berkenaan kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban enam anggota keluarganya selepas hilang punca pencarian kerana botnya turut hangus dalam kebakaran itu.

Maharusi Mabanatu, yang berumur lingkungan 50-an, mempunyai sembilan orang anak juga berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan berkenaan dan berharap mereka turut dibantu untuk mendapatkan penempatan baru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment