My Add

Tuesday 9 October 2012

2 lelaki diburu bantu siasatan kes cip mikro

BUKIT MERTAJAM, SELASA, 09 Oktober, 2012;: Polis memburu dua lelaki bagi membantu siasatan kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai di sini, awal pagi Ahad lalu.

Mereka ialah S Thurai Raj, 27, beralamat di Lorong 1, Taman Sejahtera, di sini dan A Jaykumar, 26, beralamat di No 1884, Lorong Angsana 49, Taman Keladi, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata dua lelaki itu dikehendaki bagi melengkapkan siasatan polis.

"Polis percaya mereka masih berada di sekitar negeri ini jadi kita minta mereka menyerah diri bagi membantu polis lengkapkan siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu, 269 kotak cip mikro CPU berkenaan dilarikan lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai dalam masa 20 minit.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri berkata, polis percaya sudah menumpaskan sindiket berkenaan selepas menahan 14 lelaki berusia 29 hingga 51 tahun pada hari kejadian.
"Semua yang kita tahan itu termasuk enam pengawal keselamatan gudang itu dan seorang penyelia di situ serta dalang utama sindiket berkenaan, pembeli cip mikro dan orang tengah yang menguruskan urusan jual beli terbabit.

"Kejayaan menahan mereka di sekitar negeri ini dalam tempoh 14 jam selepas kejadian adalah hasil maklumat awam dan tindakan pantas pihak polis yang menjalankan siasatan," katanya.

Beliau berkata, hasil penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Pongsu Seribu, Kepala Batas dekat sini dan menemui semula 256 daripada 269 kotak cip mikro yang dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan.

Katanya, nilai cip mikro ditemui itu ialah RM21 juta dan polis kini giat mengesan baki yang belum dijumpai serta percaya disembunyikan di sekitar negeri ini.

"Selepas menyamun, sindiket itu menyembunyikan cip mikro di rumah berkenaan dan dipercayai mereka menunggu masa untuk menghantar kepada pembeli yang dikenal pasti bagaimanapun tidak sempat," katanya.

Mohd Bakri berkata, siasatan juga mendapati sindiket itu menggunakan 'orang dalam' yang bekerja di gudang berkenaan untuk memudahkan mereka melakukan samun.

"Setiap kotak cip mikro itu bernilai RM75,000 dan ia disimpan di gudang sebelum dihantar ke Amerika dan berdasarkan siasatan mendapati ada pekerja di gudang itu terbabit dengan sindiket berkenaan sebab itu mereka tahu selok-belok serta hanya mengambil masa 20 minit untuk menyamun," katanya.

Katanya, semua lelaki berkenaan direman selama enam hari bermula semalam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment