My Add

Tuesday 9 October 2012

42 anggota ATM perangi komunis dianugerahi PJM

 KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Oktober, 2012: Sebanyak 42 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerangi pengganas komunis antara 1969 hingga 1990, dianugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) hari ini, sempena Hari ATM ke-79 yang disambut bulan lalu.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zin menyempurnakan penganugerahan itu di Wisma Pertahanan di sini, yang diadakan serentak dengan majlis meraikan 13 lagi anggota cedera kekal semasa melaksanakan operasi ataupun latihan berisiko tinggi di dalam dan luar negara.

Mereka yang dirai merupakan anggota ATM yang berada di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor dan menerima sumbangan wang tunai RM500.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

PJM ialah 'Campaign Medal' yang diperkenalkan untuk mengiktiraf keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan khidmat bakti yang dipamerkan setiap anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM ketika era darurat.

Pingat itu khusus untuk anggota ATM yang terbabit di dalam memerangi pengganas komunis secara langsung dan tidak langsung antara 1969 hingga 1989 di Semenjung Malaysia dan sehingga 1990 untuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Prebet Kamarulzaman Mohd Said, 51, yang sudah 21 tahun berkhidmat dengan ATM, melahirkan kegembiraan dan kesyukuran kerana dipilih menerima anugerah itu. 

"Syukur kerana jasa kami dikenang. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan setiap anggota tentera," katanya yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, rusuk dan tangan akibat dihempap kayu dalam operasi di Grik, Perak pada 1983.

Bagi Renjer N. Marimuthu, 55, yang cedera di tangan dan telinga akibat terkena tembakan dalam satu operasi menentang komunis pada 1983, mahu anak lelakinya mengikut jejaknya menyertai ATM bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Koperal Mohd Zulkifli Nordin, 35, yang cedera pada mata kanan akibat terkena serpihan peluru dalam satu latihan menembak di Kota Belud, Sabah pada 1996, terharu apabila turut dirai dalam majlis terbabit.

"Peluru terbabit terkena mata kanan saya seterusnya menembusi otak. Saya hanya dapat melihat melalui mata kiri sahaja.Saya rasa terharu apabila saya yang masih berkhidmat, turut diraikan dalam majlis ini," katanya yang sudah berkhidmat selama 15 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment