My Add

Monday 8 October 2012

6 syor penambahbaik proses pilihan raya tidak dilaksanakan

 Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Oktober, 2012:Enam daripada 32 cadangan dalam Laporan Jawatankuasa Pilihanraya Khas berhubung penambahbaikan proses pilihan raya tidak dapat diteruskan atas faktor perundangan dasar dan kos kewangan yang besar, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu bagaimanapun tidak bererti bahawa syor-syor itu tidak tidak dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Beliau memaklumkan secara keseluruhannya terdapat 32 syor Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung dengan penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa) terdiri 10 syor yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Dis 2011 dan 22 syor dipersetujui Dewan Rakyat pada 3 Apr 2012, untuk dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

"SPR telah memaklumkan bahawa sebahagian syor tersebut telah pun diberi perhatian dan tindakan yang wajar telah dan sedang dilakukan untuk merealisasikannya," kata Mohamed Nazri ketika menjawab soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong).

Chow bertanyakan status cadangan terkandung dalam laporan jawatan kuasa itu dan sama ada cadangan supaya SPR bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan Jabatan Perdana Menteri akan dilaksanakan.

Antara syor Jawatankuasa itu yang akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 termasuklah penggunaan dakwat kekal, membenarkan orang yang dipercayai oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) membantunya dalam urusan pengundian, mengadakan peruntukan undang-undang bagi menjalankan pengundian awal dan kemudahan undian pos kepada petugas media.

Berhubung syor pengukuhan SPR, Mohamed Nazri berkata suruhanjaya itu akan mengkaji dengan lebih lanjut syor tersebut untuk dilaksanakan pada masa depan.

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa kuasa dan kebebasan mutlak SPR diperuntukan dalam undang-undang.

"Secara dasarnya, SPR adalah sebuah institusi di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang bertanggungjawab untuk memelihara, mengawasi dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini menerusi sistem pilihan raya yang bebas, adil dan saksama dengan melaksanakan bidang kuasanya yang telah ditetapkan mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, Jabatan Perdana Menteri hanya bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran harian SPR dan pengurusan semasa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment