My Add

Monday 8 October 2012

 Abdul Aziz Mohd Yusof 
Pemilih pos: SPR mahu bukti terperinci

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu maklumat terperinci daripada pihak yang mempertikai kedudukan 64,100 pemilih pos yang didakwa tidak dimasukkan dalam Daftar Pemilih pada 9 April 2010.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini kerana dakwaan yang dikemukakan itu hanya secara umum dan menyukarkan SPR untuk menyiasat secara terperinci.

"Jadi SPR meminta perkara itu dibuktikan dengan menyerahkan semua 64,100 maklumat pemilih dengan terperinci bagi membolehkan SPR menyemak rekod tersebut dalam daftar pemilih SPR," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan akhbar Suara Keadilan bertarikh 2 Oktober lepas bertajuk "Audit Sahkan SPR Menipu-Anwar" menyatakan penemuan 64,100 pemilih pos dimasukkan dalam Daftar Pemilih pada 9 April 2010 berkemungkinan besar tidak melalui proses semakan dan bantahan rasmi.

Mengulas laporan itu yang turut mendakwa 77,246 nama pengundi baru tidak ada dalam daftar Pilihan Raya Umum ke-12, Abdul Aziz menjelaskan setiap permohonan perlu melalui proses tertentu dan bukan bermakna permohonan itu akan terus diterima oleh SPR.

"Setiap permohonan akan melalui proses pendataan, penetapan lokaliti dan pameran untuk tuntutan dan bantahan sebelum diwartakan. Kemungkinan ada nama-nama yang menerima bantahan kerana bila ada bantahan nama pengundi itu tidak boleh didaftarkan dan perlu melalui siasatan awam terlebih dahulu," katanya.

Abdul Aziz berkata sudah tentulah jika perbandingan dibuat pada awal tahun dengan yang baru pasti ada perbezaan sama ada untuk pengundi pos atau pengundi biasa.

Mengenai dakwaan 304,136 pemilih pos dengan nombor kad pengenalan tidak sepadan dan janggal tarikh permohonannya, SPR menjelaskan sehingga Suku Tahun 2/2012 hanya 274,247 Pemilih Tidak Hadir (PTH) dalam Daftar Pemilih SPR iaitu anggota tentera (161,756), anggota polis (110,055) dan luar negara (2,436).

"Ini bermakna fakta angka 304,136 pemilih pos yang dikatakan oleh Anwar itu adalah tidak tepat, jadi Anwar perlu menyatakan butiran terperinci mengenai perkara itu dan Daftar pemilih mana yang digunakan," katanya.

Mengenai 2,522 pemilih tentera dan polis tanpa kad pengenalan baru yang berpadanan dengan nama-nama mereka pula, beliau berkata SPR dari semasa ke semasa berusaha mendapatkan maklumat nombor Kad Pengenalan 12 angka bagi semua anggota tentera dan polis dalam daftar pemilih.

"Sehingga sekarang iaitu 5 Oktober lepas masih berbaki 1,042 orang, iaitu 420 orang anggota polis dan 622 orang anggota tentera yang belum mempunyai maklumat tersebut dalam Daftar Pemilih SPR," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment