My Add

Sunday 21 October 2012

Agensi kerajaan di Kelantan digesa tumpu aspek kewangan

KOTA BHARU, AHAD, 21 Oktober, 2012:: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang meminta ketua jabatan dan agensi kerajaan di Kelantan memberi perhatian serius dan teliti dalam soal berkaitan kewangan.

Ia, katanya bagi memastikan semua peraturan dan prosedur kewangan sentiasa
dipatuhi. "Ini adalah cabaran yang besar kepada ketua jabatan dan agensi di negeri ini," katanya berucap pada majlis perasmian Wisma Audit Negeri Kelantan di Bandar Bharu Tunjong di sini, hari ini.

Beliau juga mahu ketua jabatan dan agensi terbabit mengambil iktibar daripada teguran Jabatan Audit agar dapat mengelak kelemahan seperti pemborosan, pembaziran dan penyelewengan daripada berulang.

Katanya, kecemerlangan dalam menguruskan hal kewangan memerlukan warga kerja yang kompeten dan teliti dalam menjalankan pekerjaan dengan pengawasan rapi oleh ketua mereka.
 
Ambrin juga berharap, jabatan dan agensi pelaksana sentiasa mengambil langkah
penambahbaikan dalam merancang, melaksana dan memantau sesuatu projek untuk
mengelakkan kelewatan selain memastikan kualitinya terjamin.

Wisma Audit Negeri Kelantan itu yang bernilai RM18 juta dibina pada 2008 dan
siap sepenuhnya pada Disember tahun lepas.

Majlis perasmiannya hari ini disempurnakan Sultan Kelantan Sultan Muhammad
V.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment