My Add

Monday 15 October 2012

Air Kelantan perlu distruktur semula untuk baiki kualiti

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengsyorkan kepada kerajaan negeri Kelantan supaya syarikat yang membekalkan air di negeri itu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) distruktur semula bagi menangani masalah bekalan air yang tidak berkualiti.

Menteri berkenaan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata melalui tawaran penstrukturan itu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan diberi tanggungjawab membina infrastruktur bekalan air baru serta menaik taraf instruktur air sedia ada.

"AKSB akan beroperasi secara asset-light dimana mereka akan dapat memberi tumpuan untuk meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan operasi serta perkhidmatannya.

"Ini bagi memastikan bekalan air yang berkualiti dapat disalurkan kepada rakyat Kelantan," katanya ketika mengulas tentang usaha kerajaan pusat dalam membantu menangani masalah air yang tidak berkualiti di Kelantan yang ditimbulkan oleh Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) di Dewan Rakyat.

Chin berkata sehingga kini perkara itu masih dalam proses rundingan dengan kerajaan Kelanan dan sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat negeri telah ditubuhkan bagi memperhalusi terma perjanjian penstrukturan semula itu.

Katanya sebagai langkah jangka pendek, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan kewangan bagi membiayai projek infrastruktur bekalan air seperti Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) serta menaiktaraf loji rawatan Air Pintu Geng, Kota Baharu dan di Jajahan Gua Musang.

Justeru beliau berharap kerajaan Kelantan dapat segera memuktamadkan cadangan penstrukturan semula ini supaya rakyat Kelantan tidak terus dibelenggu masalah bekalan air yang tidak berkualiti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment