My Add

Monday 8 October 2012

Angkasa yakin sasar 5 peratus KDNK

KUALA TERENGGANU, AHAD, 07 Oktober, 2012: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin mampu memberi sumbangan sekurang-kurangnya lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan rangsangan yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui penurunan kadar cukai pendapatan koperasi dalam Bajet 2013 baru-baru ini.

Menurut beliau, fokus khusus yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bajet itu bakal mengubah landskap aktiviti komersial koperasi dengan jangkaan lebih ramai golongan muda terlibat.

"Dengan lebih tujuh juta ahli di seluruh negara, sasaran itu mampu kita capai dan memberi tumpuan kepada usaha untuk membimbing koperasi-koperasi kecil yang jumlahnya hampir 90 peratus di seluruh negara.

"Melalui penggubalan Dasar Koperasi Negara 2011-2020, Angkasa optimis sasaran 10 peratus koperasi menyumbang kepada KDNK negara mampu dicapai," katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan malam sempena Persidangan Koperasi Angkasa-Persekutuan Koperasi Singapura Kebangsaan (SNCF) semalam.

Tambah Mohd. Ali, Angkasa akan meneruskan program ke kawasan luar bandar dan pedalaman agar fungsi serta peranannya dapat dikembangkan seterusnya memberi manfaat kepada ahli terutama koperasi kecil.

Katanya, pengukuhan yang dilakukan bukan sekadar menambah bilangan ahli yang sanggup membuat pelaburan malah meningkatkan kecekapan pengurusan bagi tujuan penggalakan aktiviti pelaburan.

"Kita tidak mahu apabila sebut koperasi, ahli-ahlinya orang tua atau orang pencen sahaja sebaliknya mampu membela nasib ahli koperasi serta membantu menjana ekonomi negara.

"Banyak yang mahu melabur tetapi yang nak urus tiada, sebab itu koperasi kena tarik golongan muda agar menjadi entiti komersial yang benar-benar menjana keuntungan dan pendapatan," jelasnya.

Sementara itu katanya, Angkasa sudah bersedia membawa koperasi terlibat dengan lebih serius dalam sektor pembinaan dan hartanah bagi membantu kerajaan mengatasi masalah perumahan di negara ini.

Kata Mohd. Ali, masalah seperti kenaikan harga rumah mampu dikurangkan dengan penglibatan koperasi dalam membangunkan aset seperti tanah dan rangkaian bekalan bahan binaan.

"Gabungan atau konsortium antara koperasi boleh dibentuk oleh koperasi-koperasi bagi mencapai tujuan itu agar lebih berdaya saing dalam sektor perumahan berskala besar yang lebih mencabar.

"Ini peluang baharu kepada koperasi, aktiviti yang dilihat mesra orang muda selain mengembangkan aktiviti sedia ada seperti peruncitan, perladangan dan pembuatan makanan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment