My Add

Thursday 25 October 2012

BN tidak setuju Khalid diiktiraf MB Selangor terbaik


SHAH ALAM, KHAMIS, 25 Oktober, 2012: Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini tidak langsung menggambarkan kecemerlangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mengurus tadbir kewangan Selangor.

 Mohd Zin
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, laporan tersebut mendedahkan ketidakcekapan Abdul Khalid mengawal
kewangan dan perbendaharaan negeri sejak pakatan pembangkang memerintah negeri.

“Kita (BN Selangor) tidak bersetuju pengiktirafan diberikan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Abdul Khalid menteri besar paling cemerlang.
“Ini kerana laporan itu memperlihatkan banyak kelemahan dalam pentadbiran pimpinan Abdul Khalid.

Kelemahan ini dilaporkan secara telus oleh Ketua Audit Negara namun Abdul Khalid dengan angkuh cuba menafikan dan mempertikaikannya.

"Inikah sikap pemimpin berjiwa besar,” katanya pada sidang media semalam.

Mohd Zin berkata, laporan tersebut juga membuktikan Skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) diwujudkan bermotifkan politik tanpa perancangan
rapi sehingga menyebabkan hasil negeri dibazirkan begitu sahaja.

Mohd Zin mendakwa, peruntukan untuk Tawas juga digunakan secara tidak seimbang apabila daripada RM13.5 juta peruntukan iaitu RM8.5 juta untuk Tawas dan RM5 juta untuk pengurusan, hanya RM2.9 juta sahaja dibelanjakan untuk skim itu, sebaliknya RM4.9 juta dibelanjakan untuk pengurusan.

Selain itu menurutnya, Laporan Audit juga merekodkan beberapa kelemahan dalam pengurusan tanah di Selangor seperti kutipan premium tanah tidak seimbang termasuk kutipan cukai yang tidak mencapai sasaran.

Mohd Zin berkata, Laporan Audit turut merekodkan bahawa Kerajaan Persekutuan memberikan RM375.9 juta kepada kerajaan Selangor bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri sepanjang 16,013 kilometer, tetapi Kerajaan Negeri didakwa hanya membelanjakan RM218.15 juta sahaja iaitu 58.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan wang Kerajaan Negeri meningkat tetapi hakikatnya peningkatan wang Kerajaan Negeri bukanlah kerana kecekapan menteri besar sebaliknya beliau tidak membelanjakan untuk rakyat.

“Tidak guna Abdul Khalid berbangga dengan peningkatan hampir RM2 bilion kepada Kerajaan Negeri jika rakyat tidak mendapat hasil daripada peningkatan ini,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment