My Add

Tuesday 23 October 2012

Bukit Aman lumpuhkan sindiket dadah warga Pakistan

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012  : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah warga Pakistan selepas menahan seorang individu dalam satu serbuan membabitkan nilai rampasan RM2.55 juta, semalam.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1.15 tengah hari oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, hasil maklumat awam dan risikan itu berjaya merampas 61.54 kilogram (kg) dadah jenis Heroin bergred tinggi.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dalam serbuan yang di sebuah premis di Jalan Kasipillay, di sini, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 47 tahun yang dipercayai menjadi penjaga premis terbabit.

“Polis turut merampas 20 kotak kayu berisi pelbagai jenis pinggan mangkuk yang digunakan untuk menyembunyikan 180 bungkusan plastik dadah berkenaan," katanya.

Noor Rashid berkata, ini adalah kejayaan keempat dalam menumpaskan penyeludupan dadah antarabangsa membabitkan sindiket yang sama sejak 29 April tahun lalu.

“Sebelum ini kami sudah menjalankan tiga serbuan dan berjaya merampas dadah yang diseludup daripada sindiket warga Pakistan ini. Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan sindiket bangsa Nigeria.

“Kami sedang melakukan siasatan tentang bagaimana dadah berkenaan dapat dibawa masuk kerana siasatan awal mendapati keempat-empat barang rampasan diseludup menggunakan kargo. Kami juga sedang mencari dua rakan suspek yang turut terbabit dalam penyeludupan ini,” katanya. 

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BH

No comments:

Post a Comment