My Add

Tuesday 23 October 2012

Cuti Aidiladha: PLUS keluarkan waktu perjalanan untuk elak kesesakan

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012:: Orang ramai dinasihatkan mengikut jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Aidiladha dari 25 hingga 28 Oktober ini.

Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Mohd Nizam Ismail berkata, TTA yang dikeluarkan pada musim perayaan lalu berjaya membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa di Lebuhraya Utara-Selatan untuk merancang perjalanan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas. 

"Justeru, PLUS sekali lagi menasihatkan pengguna jalan raya yang pulang bercuti dan kembali ke Lembah Klang supaya terus memberi kerjasama dengan mematuhi jadual perjalanan yang dikeluarkan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi 25 dan 26 Oktober, waktu perjalanan yang dicadangkan ialah dari Lembah Klang ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang melalui Juru serta perjalanan ke Johor melalui Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak.

Perjalanan dari Lembah Klang ke Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Ayer Keroh antara 12 tengah hari dan 3 petang manakala perjalanan ke Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng serta Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat bermula antara 3 petang dan 6 petang.

Orang ramai boleh mula memasuki lebuh raya ke Tapah, Bidor, Sungkai, Slim River, Tanjung Malim, Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.

Kenderaan dengan nombor plat ganjil bagi semua laluan perjalanan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang pula dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam ganjil seperti 9 pagi, 1 tengah hari dan 7 malam manakala kenderaan plat genap dinasihatkan memulakan perjalanan pada setiap jam genap.
Bagi 27 dan 28 Oktober, perjalanan dari Lebuhraya Utara-Selatan ke Lembah Klang dicadangkan bermula sebelum 9 pagi dan selepas 10 malam manakala perjalanan yang tidak melalui kawasan Lembah Klang pula adalah antara 12 tengah hari atau selepas 6 petang.

Semua perjalanan dari utara dan selatan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihatkan pada setiap jam ganjil manakala kenderaan dengan nombor plat genap pula bermula pada setiap jam genap.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau mengikuti laman Twitter PLUSTrafik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment