My Add

Thursday 25 October 2012

Datuk terkejut bunyi disangka mercun, rupanya tembakan

KLANG, KHAMIS: Seorang lelaki bergelar 'Datuk' terkejut apabila mendapati bunyi letupan yang disangka mercun sebenarnya tembakan yang mengenai pagar rumahnya di Taman Eng Ann, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, mangsa yang berusia 43 tahun itu hanya menyedari terdapat kesan tembakan terbabit ketika hendak keluar bekerja jam 8 pagi ini. 

Pemeriksaan polis di kawasan rumah terbabit mendapati ada tiga kesan tembakan dan polis menemui tiga kelongsong peluru bersaiz sembilan milimeter di kawasan berhampiran, katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup di rumah mangsa mendapati tiga lelaki menaiki dua motosikal jenis Honda dan memakai topi keledar dengan penutup muka berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan tembakan.

Kejadian itu dipercayai berlaku jam 11.40 malam, katanya menambah polis sedang menyiasat motif insiden.

Katanya, menurut mangsa yang tinggal di rumah berkenaan sejak dari zaman kecil, kejadian itu adalah kali pertama.

Mangsa tinggal di rumah itu bersama enam anggota keluarganya dan seorang pembantu rumah. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment