My Add

Monday 8 October 2012

Dr. Mahathir gembira langkah damai di Filipina

SEPANG, AHAD, 07 Oktober, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan langkah kerajaan Filipina untuk berdamai dengan kumpulan pemberontak di kawasan bergolak di selatan negara itu.

Beliau berkata, sejak kedua-dua pihak itu terlibat dalam konflik selama 40 tahun, ia telah menyebabkan banyak nyawa tidak berdosa terkorban dan membantutkan kemajuan di kawasan tersebut.

"Saya sangat berbesar hati Malaysia terlibat dalam usaha membantu kerajaan Filipina dan pemberontak mencapai persetujuan untuk berdamai.

"Bergaduh sesama sendiri pada saya membazir tenaga, wang serta nyawa dan kita tidak dapat mencapai apa-apa pun melalui pertumpahan darah. Sebaliknya kita harus mencari jalan terbaik mengatasi sebarang konflik," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Proton Green Mobility 2012 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah diambil oleh Presiden Filipina, Benigno Aquino hari ini yang mengumumkan kerajaan dan kumpulan pemberontak telah mencapai persetujuan untuk perjanjian damai bagi menghentikan konflik yang telah mengakibatkan lebih 120,000 nyawa melayang dan melumpuhkan ekonomi daerah itu.

Pada 2001, Malaysia di bawah pentadbiran Dr. Mahathir telah memainkan peranan penting dalam mengusahakan proses perdamaian antara kumpulan-kumpulan bersenjata yang bertelagah di Mindanao.

Menerusi usaha yang digerakkan oleh Dr. Mahathir itu, pihak yang bertelagah di selatan negara tersebut bersetuju supaya masyarakat Moro diwakili oleh satu nama sahaja iaitu Persidangan Persaudaraan Bangsa Moro dan bersetuju menghentikan permusuhan di Mindanao.

Mengulas mengenai usaha yang dipelopori itu hingga berjaya mendamaikan kedua-dua pihak yang bertelagah, beliau berkata, usaha itu bukan tugas beliau seorang sahaja sebaliknya melibatkan semua pihak.

"Saya tidak minta sebarang kredit diberikan, ini kerana langkah perdamaian itu merupakan hasil rundingan diplomasi semua pihak yang terlibat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment