My Add

Tuesday 23 October 2012

Elak amalan korban untuk bermegah - Raja Nazrin

IPOH, SELASA, 23 Oktober, 2012: Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah mengingatkan umat Islam supaya mengelak amalan korban pada Hari Raya Aidiladha daripada tergelincir menjadi sambutan untuk bermegah, dipuji atau mengharapkan penghormatan orang ramai.

Baginda bertitah dalam era yang semakin bersifat materialistik, ada kala aktiviti kebajikan lebih bersifat luaran dan ia dilakukan untuk mendapat pengiktirafan duniawi sehingga memungkinkan berkembangnya sifat riak.

"Ada pula melakukan aktiviti berwajah kebajikan secara tersurat tetapi secara tersirat berniat dijadikan umpan di mata kail untuk mendapatkan sesuatu keuntungan, malah aktiviti kebajikan ada kalanya dijadikan topeng untuk melindungi perbuatan rasuah.

"Berhati-hatilah dengan aktiviti kebajikan bersifat kosmetik dan dengan niat yang serong supaya di kalangan mereka yang memiliki kuasa tidak dilihat sama-sama bersubahat membenarkan perbuatan rasuah," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP) ke-181 di sini, hari ini.

Raja Nazrin, yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, bertitah ibadah korban perlu dilaksanakan seikhlas mungkin dengan jiwa yang reda.

Titah baginda pengorbanan jika dilihat aripada perspektif Islam mempunyai pengertian yang sangat luas, dan bukan sekadar merujuk kepada ibadah penyembelihan ternakan secara fizikal.

"Pengorbanan itu akan dapat dilakukan bila mana seseorang itu berupaya menjalingabungkan kekuatan fizikal, emosional, spiritual dan mental," titah baginda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment