My Add

Tuesday 23 October 2012

Hapuskan istilah Malaysia Timur

KOTA KINABALU, ISNIN, 22 Oktober, 2012: Istilah Malaysia Timur untuk Sabah perlu dihapuskan kerana tidak menggambarkan kesatuan yang kukuh serta tidak sesuai dengan konsep Gagasan 1Malaysia.

Datuk Syed Abas Syed Ali (BN-Balung) menegaskan, Sabah sepatutnya ditulis dan dianggap sebagai negeri di dalam Malaysia kerana walaupun dipisahkan dengan Laut China Selatan namun rakyat negeri ini tetap merupakan rakyat Malaysia.

"Kita hanya ada sebuah negara iaitu Malaysia. Jika Tembok Berlin boleh diruntuhkan untuk menyatukan Jerman Barat dan Jerman Timur dengan satu nama iaitu Jerman, mengapa sukar pula untuk menghapuskan Malaysia Timur daripada peta negara sedia ada," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-13 di sini hari ini.

Tegas Syed Abas, penggunaan istilah berkenaan harus dihapuskan kerana menggambarkan seolah-olah wujudnya pengasingan antara Sabah dan Semenanjung.

Selain itu, katanya, penghapusan tersebut juga penting bagi mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan benih perpecahan dalam kalangan rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, royalti minyak bagi Sabah wajar dinaikkan kepada 10 peratus berbanding hanya lima peratus ketika ini bagi membolehkan pelbagai agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan berkesan.

"Saya yakin perkara ini boleh dirunding dan kenaikan itu tidak perlulah dilakukan secara mengejut tetapi secara berperingkat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment