My Add

Monday 22 October 2012

Hukuman mati kes dadah relevan

Oleh KAMIL MASLIH
 KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Oktober, 2012: Hukuman mati mandatori terhadap pesalah dadah masih relevan di negara ini sebagai halangan untuk kegiatan jenayah tersebut daripada terus berleluasa.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, walaupun beliau terbuka untuk kajian semula berkaitan hukuman tersebut, namun perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh.

"Sejak hukuman mati terhadap pesalah dadah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1975, adakah jumlah kes dadah semakin menurun atau menjadi lebih membimbangkan?

"Saya melihat hukuman gantung terhadap pesalah dadah masih relevan sebagai halangan serta pengajaran kepada pengedar-pengedar dadah dan menjadikan Malaysia antara negara yang digeruni," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah sementara menunggu kajian semula oleh Pejabat Peguam Negara.

Permohonan moratorium (penangguhan) itu disifatkan wajar memandangkan sebahagian daripada 900 orang yang sedang menunggu hukuman mati ketika ini adalah pesalah dadah.

Menurut Nik Ahmad Kamal, sekiranya kerajaan memansuhkan hukuman mandatori gantung terhadap pesalah dadah, pertimbangan yang sama perlu dilakukan terhadap kesalahan-kesalahan lain yang turut memperuntukkan hukuman yang sama iaitu bunuh, culik dan memiliki senjata api.

"Sekiranya alasan untuk menyelamatkan warga Malaysia yang menghadapi hukuman mati kerana kesalahan keldai dadah di negara asing, saya tidak fikir rasional itu kukuh kerana setiap negara mempunyai perundangan berbeza," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, pemansuhan hukuman gantung mandatori terhadap pesalah dadah akan menjejaskan imej tegas Malaysia di mata dunia terhadap jenayah tersebut.

"Saya melihat tidak perlu untuk hukuman itu dimansuhkan, sekiranya perkara ini berhubung kesalahan keldai dadah, saya cadangkan kita masukkan klausa khusus mengenai keldai dadah agar membuka ruang kepada pihak kehakiman untuk menentukan hukuman," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment