My Add

Tuesday 23 October 2012

Ibu tak mengaku salah campak bayi


 SITI fazlena
 Suhana Roslan | 
PETALING JAYA, ISNIN, 22 Oktober, 2012:: Ibu muda yang mencampakkan bayi perempuannya dalam keadaan masih bertali pusat dari tingkat tiga sebuah flet bulan lalu, menangis teresak-esak ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Siti Fazlena Sahili, 20, yang kelihatan memegang sejambak ros merah sepanjang prosiding kes, dituduh menyebabkan kematian anaknya itu di rumah Nombor B1-3-23, Blok 1, Flet Desa Mentari, Jalan PJS 6/5E Sungai Way di sini, jam 11.00 pagi, 16 September 2012.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah mencampakkan bayi seberat 2.8 kilogram itu dari beranda rumah flet sebelah bilik air rumahnya ke bawah sehingga mangsa meninggal dunia.

Tertuduh yang bekerja di sebuah kilang diwakili peguam, Kamarul Zaman Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 309B akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak menetapkan sebutan kes itu pada 23 November depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Chong Yin Xin menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin, namun Kamarul Zaman merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terhadap anak guamnya.

Kamarul Zaman memberi alasan tertuduh berpendapatan rendah dan penanggung tunggal keluarga.

Akhbar sebelum ini melaporkan, mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di tempat letak kereta Pangsapuri Desa Mentari di sini, dipercayai dicampak dari tingkat tiga flet itu.

Difahamkan, bayi yang ditemui dalam keadaan bogel itu sempat dimandikan terlebih dulu sebelum dicampak sama ada melalui tingkap dapur atau bilik flet berkenaan. - BH

No comments:

Post a Comment