My Add

Monday 15 October 2012

Jawatankuasa khas banteras pungutan khairat haram

SHAH ALAM, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Jawatankuasa Khas Penguatkuasaan Bersama Pungutan Khairat dan Eksploitasi Agama Negeri Selangor akan ditubuhkan berikutan berlakunya pungutan khairat haram yang kini berleluasa di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, jawatankuasa itu yang ditubuhkan dalam bulan ini serius dalam membanteras sindiket penipuan pungutan derma yang melibatkan individu, kumpulan atau pertubuhan tertentu.

"Pungutan khairat bertujuan menyokong dan memajukan umat Islam mengikut hukum syarak, namun secara ironinya kini disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk mencari pendapatan mudah kononnya demi kepentingan Islam dan umatnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbuatan mereka itu menimbulkan fitnah kepada agama, kredibiliti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS, institusi zakat dan kerajaan negeri sedangkan undang-undang pungutan khairat untuk faedah individu atau lainnya perlu mendapat kebenaran bertulis daripada MAIS.

Di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, semua bentuk pungutan khairat perlu mendapat keizinan MAIS dan jika mana-mana individu, kumpulan atau pertubuhan yang membuat pungutan khairat tanpa kebenaran MAIS boleh didenda RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment