My Add

Wednesday 24 October 2012

Jawatankuasa khas bukan untuk cari salah tetapi mencegah: Rosnah

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Penubuhan jawatankuasa khas untuk memantau dan mengambil tindakan segera terhadap anggota parti yang khianat atau mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) adalah bertujuan mencegah dan bukannya mencari kesalahan, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah langkah terbaik bagi memantau dan mencegah kejadian yang bertentangan dengan dasar parti terutama menjelang Pilihanraya Umum ke-13. 

"Penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani ahli yang mensabotaj parti dan calon BN mencerminkan hasrat serta pendirian UMNO untuk bertindak tegas ke atas mana-mana anggota yang merosakkan parti.

"Langkah ini mempercepat proses mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya di sini, hari ini.

Rosnah berkata, jika dilihat dari sudut pentadbiran, jawatankuasa khas itu adalah lanjutan kepada Lembaga Disiplin serta melengkapkan tugas dan tanggungjawab Lembaga Disiplin.

"Penubuhan jawatankuasa ini bukan untuk menyangkal ketaatan anggota tetapi untuk mencegah unsur sabotaj. UMNO berpendapat bahawa langkah pencegahan adalah lebih baik dan berkesan," katanya.

Mengulas kewajaran mewujudkan jawatankuasa itu sedangkan ikrar taat setia sudah pun dilafazkan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011, beliau berkata penubuhan jawatankuasa khas itu bukanlah bertujuan untuk mempertikai ikrar taat setia yang dilafazkan oleh anggota parti. 

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, UMNO akan sentiasa mengambil langkah yang terbaik untuk kepentingan anggotanya dan sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat.

"(Penubuhan jawatankuasa khas) Ini adalah selaras dengan transformasi UMNO yang relevan di pentas politik tanah air," katanya.

Ikrar taat setia dilafazkan 5,447 perwakilan daripada 191 bahagian sebanyak dua kali pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Ia dilihat menjadi elemen penguat kepada anggota untuk komited kepada parti bagi memastikan kemenangan setiap calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada Jumaat lalu, Majlis Tertinggi UMNO bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas itu.

Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti dan dianggotai beberapa anggota Majlis Tertinggi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment