My Add

Tuesday 23 October 2012

Jawatankuasa khas tetap diwujud bincang laporan Suhakam: Nazri Aziz

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mencadangkan jawatankuasa khas tetap ditubuhkan bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai hak asasi manusia.

Beliau berkata dengan adanya jawatankuasa itu, perkara berkaitan hak asasi manusia dalam laporan Suhakam akan dapat diperjuang secara berterusan dan tidak hanya memperuntuk satu hari sahaja untuk membahaskan perkara itu di Parlimen. 

"Isu hak asasi manusia ini satu isu yang penting. Saya tidak fikir kita boleh ketepikan satu hari untuk bincangkan laporan sahaja, kemudian apa? Mereka (Suhakam) telah menjalankan kerja dan dalam masa satu tahun telah membuat laporan tebal dan hanya dibentangkan, dan itu tidak adil untuk mereka (Suhakam)," katanya ketika menjawab soalan tambahan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran ingin tahu apa yang boleh dilakukan untuk memberi lebih makna
kepada Suhakam serta laporan yang dibuat berhubung perkara hak asasi manusia.

Mohamed Nazri berkata seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), jawatankuasa khas tetap mengenai hak asasi manusia itu akan dianggotai beberapa anggota Parlimen dan boleh mengadakan persidangan serentak atau di luar persidangan Dewan Rakyat.

"Itu (Jawatankuasa Khas Tetap) lebih bermakna daripada hanya menghebahkannya. Kita bukan berminat untuk menghebahkan sahaja tapi menangani masalah hak asasi manusia dalam negara kita, dan ia boleh dilakukan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tetap," katanya. 

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan bersedia menerima cadangan dan kritikan yang membina daripada Suhakam sekiranya ia mempunyai asas untuk kerajaan menghentikan atau meneruskan sesuatu tindakan.

"Kerajaan tidak berhajat untuk mengongkong pesuruhjaya kerana kita telah berjanji bahawa mereka (Suhakam) diberikan kebebasan menjalankan tugas mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan perlindungan mencukupi di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia supaya Suhakam dapat menjalankan tugas dengan baik.

Peruntukan itu menyatakan dengan jelas memberikan perlindungan kepada suruhanjaya dan anggotanya daripada sebarang tindakan mahkamah yang melibatkan prosiding sivil atau jenayah pada ketika mereka menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai anggota suruhanjaya, katanya.

Selain itu, Suhakam juga telah diberikan penarafan 'A' oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia di Geneva, kerana tidak menyekat peranan untuk menyiasat dengan sepenuhnya dan mengeluarkan kenyataan yang boleh dikatakan sebagai menegur kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment