My Add

Thursday 25 October 2012

Kekalkan keamanan - Sultan Pahang

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
PEKAN, RABU, 24 Oktober, 2012: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, rakyat di semua peringkat perlu mengekalkan keamanan dan kestabilan supaya negara akan terus membangun dengan jayanya.

Baginda bertitah, tidak ada yang lebih berharga melainkan kemerdekaan yang telah dikecapi negara dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai kaum.

"Beta juga mengingatkan rakyat di semua peringkat supaya menyesuaikan diri dengan segala perubahan dalam dunia global kini.

"Pada masa sama, rakyat perlu mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian bagi memupuk rasa hormat antara satu sama lain," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda sukacita kerana Pahang bergerak seiring dengan pelbagai program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Hasilnya, pertumbuhan ekonomi negeri dijangka meningkat pada kadar lima peratus, kadar pengangguran di bawah empat peratus dan pelaburan masuk antara RM1.5 bilion ke RM2 bilion setahun," titah baginda.

Baginda sehubungan itu berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan kerana tidak pernah melupakan negeri Pahang dalam pelaksanaan program pembangunan.

Sultan Ahmad Shah turut mengingatkan semua penerima darjah kebesaran Sultan Pahang supaya menjaga nama baik baginda, diri sendiri dan tidak menyalahgunakan pengurniaan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment