Kepimpinan Malaysia turut sumbang pelan damai Manila-MILF
KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Kejayaan pelan damai awal Manila-Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk mewujudkan wilayah autonomi di selatan Filipina turut disumbangkan oleh kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) berkata, perkembangan positif itu telah dimulakan oleh Kuala Lumpur melalui kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, pelan damai berkenaan bakal mewujudkan keselamatan dan keamanan di Sabah melalui kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari selatan Filipina yang dijangka berkurangan selepas bermulanya pelan damai tersebut.
Terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri yang jelas mencari usaha damai di selatan Filipina.
Pujian juga seharusnya diberikan kepada Presiden Filipina, Benigno Aquino serta Pengerusi MILF, Al Haj Murad Ibrahim dan diharap pelan ini dapat bertahan lama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Datuk Matulidi Jusoh (BN-Dungun) semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Aquino mengumumkan persetujuan pelan damai awal tersebut yang menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi di Mindanao bagi menamatkan pergolakan di selatan Filipina yang dicapai di sini minggu lalu.
Malaysia telah memainkan peranan penting dalam usaha damai Manila-MILF sejak sekian lama dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menghantar tujuh Tim Pemantau Antarabangsa sejak 2004 bagi memastikan gencatan senjata kedua pihak dipatuhi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment