My Add

Wednesday 24 October 2012

Kes warga Somalia didengar 13 Disember

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Kes tujuh rakyat Somalia yang didakwa melepaskan tembakan ke arah komando Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Aden, akan didengar 13 Disember di depan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain selepas hakim yang mendengar kes itu menarik diri minggu lalu.

Peguam A Saha Deva yang mewakili salah seorang tertuduh berkata kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin. 

Katanya, walaupun mahkamah menetapkan tarikh untuk perbicaraan, tetapi anak guamnya dan enam lagi warga Somalia yang lain akan mengulangi pengakuan bersalah selepas pihak pendakwaan menyatakan akan meminda lokasi sebenar kejadian itu seperti yang tercatat di dalam kertas pertuduhan.

Pada 18 Oktober lalu, Hakim Kamardin Hashim enggan merekodkan pengakuan bersalah kesemua tertuduh selepas peguam Edmond Bon mempertikai lokasi sebenar kejadian itu di Teluk Aden pada 18 Oktober 2011.

Kamardin yang menarik diri daripada mendengar kes itu berkata mahkamah tidak akan menerima sebarang pengakuan bersalah 'secara bersyarat'.

Edmund memberitahu mahkamah bahawa pemeriksaan yang dilakukan terhadap dokumen yang diberi kepada pihak pembelaan oleh pendakwa, terutama tentang lokasi kejadian, menunjukkan latitud dan longitud yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan, berbeza sepenuhnya daripada lokasi yang direkod dalam buku log kapal berkenaan dan laporan Siasatan Tempat Jenayah yang disediakan polis.

Pada mulanya, rakyat Somalia itu dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat), yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. 

Bagaimanapun, pada 8 Oktober, pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan kepada mereka mengikut Seksyen 32 (1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun atau seumur hidup, jika disabitkan kesalahan.

Tuduhan pilihan itu ditawarkan kepada mereka selepas representasi yang dikemukakan pihak pembelaan untuk mengetepikan (tuduhan awal) ditolak Pejabat Peguam Negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment