My Add

Thursday 25 October 2012

Khidmat RISDA bertaraf dunia

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melancarkan Pelan Induk Perkhidmatan RISDA bagi menjadikan agensi itu mampu memberi perkhidmatan bertaraf dunia kepada pekebun kecil.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, pelan tersebut dicapai hasil dua bengkel yang dibuat pada peringkat pengurusan tertinggi dan lapisan kedua.

"Pelan strategik ini diharap menjadi panduan kepada warga RISDA bagi meningkatkan kecekapan, kepantasan perkhidmatan dan berintegriti agar memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Kita juga mahu menangani cabaran perubahan aspirasi pelanggan, persekitaran yang dinamik, ledakan teknologi, impak globalisasi dan liberalisasi supaya RISDA dapat bertindak ke hadapan dan mempamerkan perkhidmatan bertaraf dunia," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran pelan itu bersempena Hari Inovasi dan Anugerah Kualiti RISDA 2012 di sini hari ini.

Majlis dan pelancaran pelan itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah RISDA, Mohamat Muda (Pembangunan) dan Ahmad Sufi Alias (Pengurusan dan Korporat).

Bertemakan 'Inovasi Dibudaya, Transformasi Berjaya' dipilih bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 supaya membudaya inovasi dan meningkat produktiviti.

Pejabat RISDA Negeri Johor telah menerima Anugerah Perdana dengan memenangi plak bersama wang tunai RM5,000 atas beberapa kemenangan mereka dalam 17 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Kualiti tahun ini.

Selain itu, penyampaian pemenang bagi Pertandingan Inovasi dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) turut dijalankan yang telah dibuat pada 22 Oktober lalu.

Tambah Wan Mohamad, beliau juga telah mengarahkan pengarah-pengarah bahagian untuk turun padang ke seluruh 128 Pejabat RISDA Stesyen agar memastikan segala maklumat sampai dan mengetahui sebarang permasalahan yang dihadapi pelanggan.

Sementara itu, penerima Anugerah Perdana, Pejabat RISDA Negeri Johor yang diwakili oleh Pengarahnya, Omar Paimin berkata, kemenangan itu adalah hasil komitmen semua warga RISDA Johor dan pekebun kecil.

"Apa yang kita tekankan adalah memberikan kepuasan terbaik kepada pelanggan. InsyaAllah, anugerah ini juga akan menjadi dorongan kepada kita untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi kerja," jelasnya.

Dalam apda itu johan Anugerah Kualiti Anak Syarikat RISDA pula dimenangi oleh ESPEK Sdn. Bhd. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment