My Add

Wednesday 24 October 2012

KPDNKK rampas diesel subsidi bernilai RM32,400

SHAH ALAM, RABU, 24 Oktober, 2012:: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Shah Alam merampas 18,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM32,400 dari sebuah gudang di kawasan perindustrian Seksyen 33, Bukit Kemuning dekat sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, dalam serbuan jam 2.30 petang itu pihaknya turut menyita sebuah tangki statik dan sebuah lori tangki, kedua-duanya dianggarkan bernilai RM70,000, berisi diesel itu diletakkan di gudang berkenaan. 

"Pihak penguatkuasa melakukan risikan dan intipan sejak sebulan lalu sebelum bertindak menyerbu gudang itu.

"Daripada maklumat diterima, mereka yang terbabit dengan aktiviti haram ini menggunakan lori tangki mengambil diesel bersubsidi dari stesen minyak berdekatan di kawasan Klang dan Shah Alam untuk disimpan di gudang sebelum diedar kepada pihak ketiga.

"Namun, tiada sebarang tangkapan dibuat pada serbuan kali ini," katanya kepada pemberita di gudang berkenaan, malam tadi.

Othman berkata, jumlah keseluruhan diesel bersubsidi dirampas kali ini adalah sedikit disebabkan mereka yang menyeleweng ini menyedari kehadiran anggota penguatkuasa lalu mengeluarkan sebahagian besar bahan itu daripada gudang itu.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki aktiviti haram diesel di Seksyen 33 ini berlaku hampir setiap hari sejak kira-kira lima bulan lalu. 

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu terlibat, manakala syarikat pula dendanya tidak melebihi RM250,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment