My Add

Friday 26 October 2012

KPTM sasar 10% sertai bidang keusahawanan

KOTA BHARU, KHAMIS, 25 Oktober, 2012: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menyasarkan kira-kira 10 peratus pelajarnya akan menceburi bidang keusahawanan selepas menamatkan pelajaran kelak.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya akan memberikan pendedahan melalui pelbagai program yang dirancang kepada pelajar-pelajar tentang bidang tersebut.

Beliau berkata, hal ini bagi memastikan golongan tersebut mendapat peluang dan tidak kekok untuk menjadi usahawan selepas menempuh alam pekerjaan.

"KPTM melihat keusahawanan adalah peluang baharu untuk diceburi, oleh sebab itu, pendedahan akan diberikan kepada setiap pelajar tahun akhir supaya mereka tidak merasa kekok memasuki bidang tersebut.

"Kita adakan program inkubator di samping membawa tokoh-tokoh perniagaan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan para pelajar," katanya selepas program Keusahawanan Mara KPTM SeMalaysia di sini semalam.

Sementara itu, Sohaimi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, peluang pekerjaan yang terhad di negeri ini seharusnya menjadi kayu pengukur kepada rakyat untuk menilai kerajaan Pas Kelantan.

Katanya, masalah itu menyebabkan golongan muda dari negeri ini terpaksa berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari rezeki.

"Saya terlibat di peringkat nasional tentang masalah ini dan seharusnya telah membuka mata rakyat dan sudah cukup tempohnya untuk memberi peluang kepada Pas memerintah.

"Rakyat seharusnya memberi peluang kepada pemimpin yang dinamik, idealis dan realistik dalam membangunkan negeri sejajar dengan transformasi yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Maka disebabkan itu, KPTM mengambil langkah dengan memperkenalkan keusahawanan agar dapat mencipta peluang, sebagai contoh, sekiranya mereka jurusan kejururawatan tetapi mungkin mereka boleh menjadi pembekal peralatan kesihatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment