My Add

Wednesday 24 October 2012

Litar perlumbaan 'drag' bernilai RM15 juta

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membina sebuah litar bagi perlumbaan 'drag' membabitkan kos sebanyak RM15 juta dalam usaha menjadikan sukan permotoran negara ini lebih profesional.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kabinet sudah meluluskan pembinaan litar itu dua minggu lalu bagi memastikan aspek keselamatan perlumbaan ekstrem itu lebih sistematik. 

"Kementerian sudah mendapat kelulusan Kabinet berhubung pembinaan litar perlumbaan drag itu membabitkan laluan sepanjang 800 meter. Kami mencadangkan supaya dibina empat litar drag.

"Setakat ini hanya satu yang lulus. Mengikut perancangan awal, litar itu akan dibina di Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba Formula BMW, Muhammad Nabil Jan Al-Jeffri di Seri Kembangan hari ini.

Ahmad Shabery berkata pembinaan litar sistematik itu bertujuan mengelak insiden kemalangan seperti yang berlaku semasa perlumbaan drag pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, Jun lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata kementerian bersetuju memberi elaun kepada pelumba sukan permotoran yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seperti yang dinikmati atlit lain Malaysia.

"Kami akan lihat kategori dan bentuk sokongan yang akan diberikan kepada pelumba seperti Hafizh, Zulfahmi (Khairuddin dari Moto3) dan Nabil bagi mengurangkan beban mereka. 

"Sebelum ini, kebajikan mereka (pelumba sukan permotoran negara) 100 peratus bergantung kepada penaja," katanya.

Pada perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia hujung minggu lalu, Zulfahmi melakar sejarah negara dengan meraih tempat kedua bagi kategori Moto3 manakala pelumba 'wild card' Hafizh Syahrin di tempat keempat bagi kategori Moto2.

Ahmad Shabery berkata beliau juga akan memastikan Institut Sukan Negara (ISN) memberi kerjasama dalam aspek sains sukan kepada pelumba sukan permotoran supaya mereka lebih menyerlah di peringkat dunia.

"Kami akan memberi sokongan kepada mereka dan dengan kerjasama daripada ISN, mereka (pelumba) boleh menggunakan gimnasium serta mendapatkan nasihat pakar mengenai persediaan fizikal dan rawatan yang sesuai," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment