My Add

Monday 8 October 2012

Malaysia, Indonesia perlu lihat konteks hubungan lebih besar

PUTRAJAYA, AHAD, 07 Oktober, 2012:Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya membiarkan sentimen ekstrem menguasai keadaan berikutan wujudnya isu-isu sensasi sehingga boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, hubungan Malaysia dan Indonesia perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana banyak bidang kerjasama yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara untuk mewujudkan kemakmuran bersama.

Beliau berkata, sinergi antara kedua-dua negara yang telah sedia wujud lebih 55 tahun wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan hubungan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.

"Cabaran-cabaran yang ada seperti isu pembatasan sempadan maritim dan sempadan darat adalah sesuatu yang amat kompleks di mana penyelesaian muktamad memerlukan masa.

"Walau bagaimanapun, usaha-usaha mencari persetujuan bersama dalam isu ini menunjukkan kedua-dua Malaysia dan Indonesia mampu berunding dan mencari penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Kelima Hubungan Strategik Dua Hala Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Muhyiddin menarik perhatian, isu-isu tersebut dan beberapa isu lain seperti tenaga kerja sering dieksploitasi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan mereka.

"Seringkali Malaysia dijadikan 'punching bag' oleh pihak-pihak tertentu terutamanya apabila wujud isu-isu sensasi yang disiarkan di media massa.

"Isu tersebut sering digembar-gemburkan tanpa terlebih dahulu membuat sebarang usul periksa mengenai fakta sebenar," katanya.

Malah menurut beliau, isu berkenaan dijadikan sumber oleh pihak tertentu untuk memperlekehkan dasar kerajaan dan akibatnya menjejaskan hubungan yang sedia terjalin.

Tindakan tersebut katanya, secara tidak langsung mewujudkan persepsi kurang baik mengenai hubungan dan kerjasama kedua-dua belah pihak yang sepatutnya bertambah kukuh.

Sehubungan itu, kata beliau, peranan media dan penganalisis dalam membentuk persepsi rakyat untuk menangani masalah tersebut penting. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment