My Add

Wednesday 24 October 2012

MAS tingkat kapasiti, penerbangan antara Malaysia-Taipei

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Malaysia Airlines hari ini mengumumkan peningkatan kapasiti dan penerbangan bagi laluan Malaysia-Taipei untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi rangkaian ini.

Berkuat kuasa 15 November, penerbangan hariannya antara Kota Kinabalu dan Taipei akan dinaik taraf daripada pesawat sekarang ini dengan 144 tempat duduk, B737-400 kepada pesawat 160 tempat duduk, B737-800, yang menawarkan 112 tempat duduk tambahan seminggu bagi setiap arah.

Mulai 19 Februari 2013, ia juga akan memperkenalkan penerbangan tambahan empat kali seminggu pesawat B737-800 kepada perkhidmatan harian sedia ada pesawat B737-800 antara Kuala Lumpur dan Taipei.

"Dengan perubahan jenis pesawat dan peningkatan perkhidmatan, kami akan menawarkan 11 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur dan tujuh penerbangan seminggu dari Kota Kinabalu ke Taipei.

"Ini akan menyediakan jumlah kapasiti mingguan kepada 5,760 tempat duduk antara Malaysia dan Taiwan bagi kedua-dua hala," kata Naib Presiden Kanan Serantau untuk Malaysia/ASEAN, Muzamil Mohammad, dalam satu kenyataan di sini.

"Perkembangan ini juga mungkin disebabkan oleh peningkatan yang ketara dalam cara kami menggunakan pesawat badan kecil kami.

"Ia membawa manfaat berganda dengan membolehkan kami mengendalikan lebih banyak perkhidmatan untuk penjanaan peningkatan pendapatan dan dengan menggunakan pesawat lebih kerap, mengurangkan kos setiap kilometer tempat duduk," katanya. 

Penerbangan baru berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 1.35 pagi dan tiba di Taipei pada 6.20 pagi setiap Selasa, Rabu, Jumaat dan Ahad, manakala penerbangan masuk berlepas dari Taipei pada 7.55 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada 12.45 tengah hari yang sama.

"Industri pelancongan Malaysia dijangka menyumbang RM104 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar menjelang 2020. Untuk mencapai sasaran pertumbuhan yang tinggi ini, Malaysia perlu mencapai 36 juta ketibaan pelancong pada 2020 daripada 24 juta pada 2009, pada kira-kira 1.5 kali pertumbuhan.

"Malaysia Airlines akan terus menyumbang peningkatan ketibaan pelancong kepada Malaysia dengan secara beransur-ansur meningkatkan sambungan antarabangsa melalui penerbangan sendiri dan juga dengan memanfaatkan perjanjian perkongsian kod sedia ada dengan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh lain," kata Muzammil.

Malaysia Airlines juga menawarkan tawaran menarik ke Taipei dari sekarang sehingga 5 November 2012 bagi tempoh perjalanan dari sekarang sehingga 30 Jun, 2013.

Tambang kelas ekonomi pergi balik promosi termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Taipei bermula dari RM1,159 dan daripada RM969 untuk penerbangan Kota Kinabalu ke Taipei.

Tambang pergi balik termasuk semua bagi kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke Taipei bermula dari hanya RM3,179 dan daripada RM2,679 bagi Kota Kinabalu ke Taipei.

Pelanggan yang merancang perjalanan mereka untuk perkhidmatan berkenaan boleh menempah dan membayar melalui semua saluran pengedaran iaitu www.malaysiaairlines.com, talian bebas tol 24 jam Malaysia Airlines di nombor 1 300 88 3000, MH Buddy di Malaysia Airlines Facebook, MHmobile, pejabat tiket Malaysia tiket Airlines dan ejen yang dilantik di seluruh Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment