My Add

Friday 26 October 2012

Masa depan industri reit malaysia lebih cerah

SINGAPURA, KHAMIS, 25 Oktober, 2012: Malaysian Real Estate Investment Trusts (M-REIT) kini di ambang masa depan yang menerujakan serta dijangka menarik pemain baharu ke pasaran, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd. Datuk Jeffrey Ng.

Katanya, dengan kejayaan penyenaraian M-REIT dan pulangan keseluruhannya, industri itu dijangka menarik pemain baharu.

"Kami berharap menyaksikan kemasukan pemain REIT yang disokong oleh aset yang mempunyai saiz yang besar serta berkualiti baik dan pihak yang mempromosi yang disegani bagi mengembangkan M-REIT sebagai tiga pasaran REIT teratas di rantau ini.

"Kini, tiga pasaran REIT teratas di segi permodalan pasaran di Asia ialah Jepun, Singapura dan Hong Kong," katanya.

Katanya, industri M-REIT kini berada pada fasa pengembangan.

"Ia terus menarik kemasukan bukan sahaja pemain REIT baharu malah pemain yang besar dan berkualiti seperti contoh penyenaraian Pavilion REIT dan IGB REIT dari akhir tahun lepas sehingga ini.

"Permodalan pasaran M-REIT dicatatkan RM19.3 bilion sehingga 30 Sept. Ini, bagaimana pun, agak kecil berbanding dengan pasaran REIT Singapura," katanya.

Ng berkata, banyak syarikat hartanah merancang REIT dan ini baik bagi industri M-REIT pada masa depan.

Mengenai dasar sedia ada, katanya Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Kementerian Kewangan sangat menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri M-REIT.

"Peraturan sedia ada adalah akomodatif industri M-REIT. Sebagai contoh, had gearan M-REIT ditetapkan sehingga paras maksimum 50 peratus berbanding dengan paras 30 peratus yang ditetapkan negara seperti Singapura (tanpa penarafan dari agensi penarafan kredit).

"Pihak berkuasa kemungkinan menimbangkan mengguna pakai dasar Singapura yang membenarkan tahap gearan mencecah sehingga maksimum 60 peratus, yang disokong oleh penarafan dari agensi penarafan kredit.

"Bagi REIT yang lebih besar, tambahan had gearan 10 peratus bermakna bagi pengambilalihan," katanya.

Ng berkata, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan sihat antara 4.5 peratus hingga 5.0 peratus pada 2012, yang disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh dan pelaburan awam serta kadar pengangguran yang rendah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment