My Add

Thursday 25 October 2012

Mufti Perak: Tegur pemimpin jihad paling besar

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
SHAH ALAM, KHAMIS, 25 Oktoberr, 2012:Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, menjadi satu keperluan untuk menegur pemimpin yang gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan ia juga harus dianggap sebagai satu "jihad paling besar."

Beliau berkata, tugas itu wajib kepada semua umat Islam terutama yang mempunyai kelebihan.

"Golongan ulama memang perlu tegur pemimpin, saya juga tegur pemimpin, hampir ke semua Perdana Menteri pernah saya tegur termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas).

"Memetik hadis Nabi, menasihati pemimpin yang zalim adalah jihad yang paling besar.

"Tugas itu perlu dimainkan oleh semua orang tetapi selalunya dilihat sebagai tugas ulama kerana mereka mempunyai kelebihan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kelebihan itu bukan sahaja daripada ilmu yang dimiliki ulama terbabit tetapi termasuklah peluang yang lebih mudah untuk bertemu dan bercakap dengan pemimpin itu.

Kelmarin, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat boleh menegur pemimpin tetapi perlu secara tertib.

"Kritik kesalahan dan pengurusan itu tapi pilih perkataan yang elok seperti manusia yang bertamadun. Sebut perkataan yang tegas dan bermaksud," katanya pada siri Wacana Sinar Harian ke-15 bertajuk Peranan Ulama Menasihati Pemimpin.

Harrussani berkata, ada orang menggunakan medan syarahan atau media massa menegur pemimpin.

Katanya, teguran yang dibuat perlulah secara beradap dan tidak menyinggung perasaan individu yang ditegur itu.

"Semua orang ada egonya, jadi adalah lebih baik menggunakan cara yang bersesuaian untuk menegur orang itu supaya tidak mengguris hatinya.

"Kalau kita mahu tegur cara tugas mereka, boleh menulis surat untuk menasihatinya dan jika punya kesempatan, bertemu secara terus adalah lebih baik," katanya.

Katanya, mereka yang menegur seseorang itu melalui ucapan dianggap sebagai mengumpat.

"Kita tidak perlu menegur orang itu sehingga memberi aib kepadanya. Gunakan cara yang lebih diplomasi," katanya.

No comments:

Post a Comment