My Add

Thursday 25 October 2012


Muhyiddin serah 102 lembu korban

*MUHYIDDIN Yassin diiringi isterinya, Noorainee Abdul Rahman menyerahkan lembu korban untuk Hari Raya Aidiladha kepada Jabatan Agama Islam Muar yang diwakili oleh Kadi Daerah Muar, As Syeikh Dzulkipli Mohamed (kanan) di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Muar, Johor, semalam. - BERNAMA

PAGOH, RABU, 24 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan 102 ekor lembu korban sumbangan peribadinya dan beberapa syarikat korporat di sini sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut Jumaat ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyampaikan sumbangan tersebut di Kompleks Seri Pekembar di sini untuk diagihkan kepada 28 penerima meliputi jabatan kerajaan, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua cawangan UMNO sekitar daerah ini.

Beliau menyumbangkan sebanyak 50 ekor lembu manakala selebihnya oleh syarikat Cekap Jati Sdn. Bhd., Astro Group, Pelangi Wira Sdn. Bhd., Dekat Jitu Sdn. Bhd, Koperasi TNB Bhd, Sapura Secured Tech.

Turut mengiringi Muhyiddin ialah isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Tahir Taat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, ketua-ketua jabatan kerajaan dan ketua-ketua kampung.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis penyerahan tanah seluas 0.4 hektar berdekatan kompleks itu oleh pemiliknya iaitu Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Hatta Mohamed kepada Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin yang diwakili Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim.

Menurut Wan Shalihudin, tanah tersebut akan dibangunkan dengan bangunan Pusat Dialisis Tan Sri Muhyiddin selain satu bangunan futsal dan satu lagi bangunan gimnasium desa untuk kegunaan penduduk dan belia setempat.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa yayasan tersebut berkata, keseluruhan pembinaan untuk tiga kemudahan berkenaan ialah kira-kira RM1.5 juta tidak termasuk peralatan dan kelengkapan.

“Majlis pecah tanah akan dilakukan pada hujung Disember ini dan kerja-kerja membinanya akan dilakukan tiga bulan kemudian dan dijadualkan siap pada hujung tahun depan," katanya.

Katanya, pusat dialisis tersebut akan menempatkan 10 buah katil dan dilengkapi kemudahan mesin rawatan canggih selain menerima khidmat kepakaran dari Kumpulan Perubatan Johor Sdn. Bhd. (KPJ).

Jelasnya, penubuhan pusat dialisis tersebut adalah yang kedua selepas dibina berhampiran Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, dengan kos RM1.5 juta dan akan beroperasi sebulan lagi.

Muhyiddin merupakan penaung yayasan itu yang ditubuhkan pada 2003, aktif membabitkan diri dalam kerja kebajikan menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan mengadakan aktiviti mengumpul dana seperti pertandingan golf dan majlis makan malam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment