My Add

Monday 15 October 2012

Nazri nafi laporan audit disaring dahulu sebelum diumumkan

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan dakwaan pembangkang kononnya Laporan Ketua Audit Negara 2011 disaring terlebih dahulu sebelum diedarkan kepada anggota Parlimen.

Mohamed Nazri berkata laporan itu tidak boleh ditapis oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan yang memerintah, dan menyifatkan tuduhan anggota Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak berasas.

"Mana boleh tapis. Beliau banyak bercakap dan buat tuduhan tetapi tiada bukti untuk dikemukakan. Kita tidak perlu mengambil berat terhadap dakwaan yang dibuat sekiranya tiada bukti kukuh untuk menyokongnya.

"Dalam pengurusan kewangan negara, kita tiada kemampuan untuk sembunyi apa-apa kerana rakyat sekarang semakin canggih. Hanya orang yang jahat sahaja akan berfikir sebegitu, saya rasa sekiranya pembangkang memerintah, merekalah yang akan melakukan perkara tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azan, yang mempersoal kelewatan mengemukakan laporan itu, mendakwa Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah disaring terlebih dahulu sebelum diumumkan bagi menutup kelemahan pengurusan kewangan negara.

Mohamed Nazri menjelaskan laporan itu hanya dibentang dua minggu selepas persidangan Dewan Rakyat bermula kerana mahu memberi laluan kepada pembentangan serta pembahasan Bajet 2013.

Katanya, memandangkan rata-rata menteri akan membuat penggulungan pada minggu ini, beliau berpendapat laporan itu sesuai dibentangkan pada masa yang sama.

Beliau berkata ini untuk memberi peluang kepada anggota Parlimen membaca laporan itu dan membangkitkan isu pada minggu depan.

"Itu sahaja sebab mengapa laporan tersebut dibentangkan dua minggu selepas dewan bersidang, dan ia tidak melanggari mana-mana peraturan Dewan Rakyat.

"Kalau kami dituduh mahu sembunyikan sesuatu, lebih baik kami tidak perlu bentangkan laporan berkenaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment