My Add

Tuesday 16 October 2012

Padi Clearfield bantu atasi masalah padi angin

*NOH Omar menyampaikan baucar bantuan kawalan padi angin kepada wakil peladang sambil disaksikan Sabry Ahmad (kiri) dan Radzi Sheikh Ahmad (kanan) di Dewan Warisan, Kangar, semalam.
KANGAR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Kerajaan akan menjalankan kajian terperinci sama ada benih padi yang baru iaitu Clearfield berkesan atau tidak dalam menyelesaikan masalah padi angin yang dihadapi oleh petani di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Noh Omar berkata, jika penggunaan Clearfield berjaya meningkatkan hasil padi maka kerajaan bercadang memberikannya kepada petani sebagai subsidi.

''Ini kerana Clearfield yang didatangkan dalam dua pakej iaitu bersama baja dan racun rumpai itu mahal kosnya. Penggunaannya untuk sehektar melibatkan kos sebanyak RM840," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kawalan Padi Angin Musim 2/2011 peringkat negeri Perlis (Peruntukan Khas Perdana Menteri) di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Koperasi, Sabry Ahmad dan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Sementara itu, sebanyak 3,339 petani dari kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 3,324 luar MADA menerima bantuan berupa benih padi Clearfield menerusi peruntukan bernilai RM4 juta.

Noh berkata, bagi menampung kos pemberian Clearfield untuk petani itu, maka pemberian subsidi seperti baja, racun dan sebagainya sebelum ini sudah tidak diperlukan lagi.

''Kos subsidi ini boleh digunakan untuk menggantikan pemberian Clearfield kepada petani," katanya.

Noh berkata, Clearfield cuma boleh digunakan untuk dua musim dan selepas itu petani perlu menggunakan benih padi sah semula.

Bagaimanapun katanya, petani diingatkan supaya lebih rajin dalam menguruskan sawah masing-masing untuk meningkatkan hasil pengeluaran.

''Kerajaan hanya dapat membantu dari beberapa segi sahaja termasuk memberikan Clearfield bagi membantu petani yang menghadapi masalah padi angin," katanya.

Katanya, jika petani masih tidak mengawasi tanaman dengan baik maka akan timbul pula masalah penyakit padi yang lain pula. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment