My Add

Wednesday 24 October 2012

Pegang prinsip Perlembagaan
 
*MUHYIDDINYassin beramah mesra bersama pengetua yang menerima
watikah pengetua cemerlang selepas majlis penutup Konvensyen Kebangsaan
Pengurusan Pendidikan 2012 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM 
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak perlu berpegang pada prinsip Perlembagaan Persekutuan sedia ada tanpa perlu memberikan definisi semula sama ada negara ini sekular atau pun sebaliknya.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, di bawah prinsip itu sudah jelas Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi kaum lain boleh mengamalkan agama masing-masing.

''Saya rasa biar dikekalkan status itu, tidak perlu mendefinisikan semula kerana kita sudah melalui proses ini sejak 55 tahun merdeka.

''Apa perlu kita berdebat soal sama ada negara ini sekular atau negara Islam kerana yang menjadi tunjang adalah Perlembagaan negara,'' katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang dan menyampaikan watikah pelantikan pengetua cemerlang 2012, di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular malah, perkataan itu langsung tidak disebut pada mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan Islam adalah agama bagi Persekutuan dan perkara itu diperkukuhkan dengan peruntukan lain, selain kedudukan Malaysia berbeza dengan negara sekular Amerika Syarikat, India dan Turki yang secara jelas memperuntukkan elemen sekular di dalam Perlembagaan mereka.

Muhyiddin menjelaskan, terpulang kepada tafsiran masing-masing mengikut kefahaman mereka untuk melabelkan negara ini sekular atau tidak supaya tidak timbul satu polemik yang langsung tidak memberikan apa- apa faedah.

Menurut beliau, hal ini demikian kerana Malaysia sudah 55 tahun merdeka dan keadaan negara kekal aman sejahtera tanpa pergaduhan serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.

''Walau apa pun definisi, terserah kepada rakyat, ada orang lihat dari sudut Perlembagaan, ada yang lihat dari sudut kumpulan etnik atau agama kerana di Malaysia ada pelbagai kaum, jadi masing-masing mentafsir sendiri. Bagi saya tidak mengapa apa pun tafsiran mereka, yang paling utama adalah yang termaktub dalam Perlembagaan.

''Apa yang penting semua orang sudah terima Perlembagaan itu dan mereka hidup dalam keadaan baik, jadi apa perlu kita berdebat kerana saya tidak nampak apa faedah kecuali ada pihak mahu mengggunakan isu itu sebagai modal politik mereka,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment