My Add

Wednesday 24 October 2012

Pemandu lori balak tersepit dalam kemalangan di Bukit Tangga

SEREMBAN, RABU, 24 Oktober, 2012:: Seorang pemandu lori yang membawa muatan balak terpaksa menahan azab tersepit kira-kira sejam selepas kenderaan berat itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai-Jelebu di Bukit Tangga dekat sini, hari ini.

Dia tersepit akibat dihempap beberapa batang kayu balak yang terjatuh ketika kenderaan itu dalam perjalanan dari Jelebu ke Gemencheh. 

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 3 petang bila lori itu yang turut disertai seorang kelindan hilang kawalan ketika menuruni bukit di satu selekoh lalu terbabas sebelum merempuh lereng bukit.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, A Gonaselan yang ditemui di tempat kemalangan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sampai di lokasi pada kira-kira jam 3.30 petang.

"Kita mendapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an tersepit di bahagian pemandu ekoran dihimpit oleh beberapa batang balak yang terjatuh.

"Kita mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang cedera di bahagian kaki sebelum dikejarkan ke HTJS," katanya.
Nama pemandu belum dikenalpasti. 

Dalam pada itu, kelindan lori terbabit V Radakrishnan, 48, berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment