My Add

Tuesday 23 October 2012

Perkasa seru ahli sokong BN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Oktober, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyeru ahli-ahlinya memberi sokongan padu kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang termasuk daripada parti-parti komponennya seperti MCA dan MIC.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, hal itu kerana Perkasa melihat hanya BN yang mampu memastikan keamanan dan keselamatan negara dapat dikekalkan.

Katanya, keputusan itu dicapai setelah beliau melakukan proses percambahan idea bersama Ahli Majlis Tertinggi Perkasa yang terdiri daripada bekas anggota tentera, pensyarah dan tokoh-tokoh dalam bidang tertentu.

"Berdasarkan sesi percambahan idea itu, kami membuat satu resolusi bahawa kita tiada pilihan selain memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang demi kepentingan dan keselamatan negara.

"Kami tidak mahu mengambil risiko memilih pakatan pembangkang yang nampaknya bercelaru dan tidak yakin pakatan berkenaan mampu menjamin keselamatan negara," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ibrahim, selepas membuat pemantauan, Perkasa juga menilai bahawa MCA adalah lebih baik berbanding DAP dalam banyak sudut walaupun kadang kala tindakan serta kenyataan parti itu menggores hati pihak tertentu.

"Kami telah menilai, memantau serta membuat pemerhatian dan mendapati MCA jauh lebih baik daripada DAP dalam banyak perkara walaupun saya sendiri menerima hakikat kadang-kala tindakan atau kenyataan pemimpin parti itu seperti dalam isu hudud menggores hati pihak tertentu, tetapi perkara itu bukanlah persoalan utama.

"Mereka (MCA) hanya memberi pandangan peribadi, sekiranya tidak bersetuju, kami tegur, tetapi itu tidak membawa maksud bahawa kami memusuhi MCA," jelasnya.

Tambah Ibrahim, tindakan MCA mengkritik isu tertentu khususnya berkaitan kepentingan kaum Cina bermula apabila DAP sentiasa memainkan isu itu.

Katanya, MCA juga mahu mengekalkan sokongan kaum Cina dan kadang-kala terpaksa mengeluarkan kenyataan tetapi tidak melampau seperti 'langkah mayat saya dulu' seperti yang pernah diluahkan salah seorang pemimpin DAP.

"MCA sudah lama bekerjasama serta menerima perjuangan UMNO sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Tidak seperti DAP yang menolak perjuangan Islam Pas, kita boleh lihat perbezaan MCA dengan DAP," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment