My Add

Tuesday 23 October 2012

Perlu banyak syarikat bertanggungjawab - PM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Oktober, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara memerlukan lebih banyak syarikat korporat yang boleh menyumbang kepada kebajikan masyarakat.

Mengambil contoh gedung beli-belah Parkson di bawah Lion Group, beliau berkata, tanggungjawab sosial korporat tidak dilihat sebagai salah satu bentuk publisiti sebaliknya satu komitmen untuk meningkatkan taraf hidup golongan kurang bernasib baik.

"Parkson telah mengenal pasti keupayaan sebenar perniagaan mapan adalah yang mampu membentuk masyarakat mapan.

"Oleh itu, kita mahu lebih banyak syarikat yang berfikir seperti ini kerana boleh membantu Malaysia mencapai tahap ekonomi membanggakan tanpa melupakan pembangunan sumber manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena ulang tahun ke-25 Parkson di sini malam ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Eksekutif Lion Group yang juga Pengerusi Parkson Holdings Bhd., Tan Sri William Cheng.

Najib berkata, di samping kejayaan mengembangkan perniagaan, Parkson juga memberi nilai murni kepada rakyat Malaysia.

Melalui program promosi dan pemasaran, jelas beliau, Parkson telah menjadikan masyarakat negara ini lebih utuh.

"Parkson memberi fokus dalam bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan iaitu dua bidang penting untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Setiap tahun Yayasan Lion Group memberi dana kepada penyelidikan saintifik termasuk memberi biasiswa untuk pelajar serta menggalakkan orang ramai menyumbang bantuan persekolahan bagi diagihkan kepada sekolah yang memerlukan," katanya.

Najib selepas itu menyaksikan majlis penyerahan replika cek berjumlah RM750,000 yang disumbangkan Parkson kepada World Vision Malaysia bagi membantu golongan kurang bernasib baik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment