My Add

Monday 22 October 2012

Pesalah dadah tetap dihukum berat

PADANG RENGAS, AHAD, 21 Oktober, 2012: Semua pesalah dadah di negara ini tetap menjalani hukuman berat walaupun kajian semula terhadap hukuman mati melibatkan kesalahan tersebut sedang dikaji semula Pejabat Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kajian semula itu tidak wajar dilihat akan meringankan hukuman pesalah dadah kerana hukuman tersebut tetap berteraskan prinsip keadilan.

"Kalau kita lihat, selama hukuman itu (gantung) dijalankan, kegiatan jenayah dadah tidak berkurangan, tetapi mangsa yang ditipu sehingga menjadi keldai dadah terus bertambah.

"Mereka (keldai dadah) ini pula digantung mati sedangkan bos-bos mereka terus bebas dan hidup mewah. Saya percaya hukuman (baharu) kelak tidak akan bertambah atau berkurang tetapi bersifat adil," katanya selepas menyampaikan hadiah Larian 1Malaysia di Padang Sekolah Menengah Tun Perak, di sini hari ini.

Akhbar hari ini memetik kenyataan Mohamed Nazri yang menjelaskan, kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah sementara menunggu hasil kajian yang sedang dijalankan Pejabat Peguam Negara.

Beliau dipetik sebagai berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat dan jika dipersetujui satu inisiatif akan dilakukan bagi mewujudkan moratorium (penangguhan) hukuman tersebut.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada pakar perundangan yang menyifatkan hukuman mati masih relevan terhadap pesalah dadah selain dapat mengekalkan reputasi Malaysia sebagai salah sebuah negara yang tegas dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mohamed Nazri menambah, kajian semula itu perlu dilihat secara positif dengan mengambil kira kes-kes melibatkan mangsa penipuan dan penganiayaan sehingga mereka berdepan hukuman mati.

"Kalau selepas ini tiada hukuman mati, mereka mungkin dipenjara 30 atau 40 tahun iaitu hukuman yang sebenarnya dianggap sangat berat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment