My Add

Monday 8 October 2012

PM disaran temui penduduk Pengerang berhubung projek RAPID

JOHOR BAHRU, AHAD, 07 OktOBER, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berjumpa dan mendengar sendiri rintihan penduduk Pengerang, Kota Tinggi mengenai permasalahan yang dihadapi mereka berkaitan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, sejak RAPID dilancarkan awal tahun ini, pelbagai laporan mengenai kekecewaan penduduk dipaparkan di akhbar-akhbar utama tempatan.

Menurutnya, antara masalah itu adalah tentang pampasan yang diberikan kerajaan kepada penduduk yang dilihat tidak adil dan saksama.

"Kita kena faham terdapat sebahagian penduduk dilahir dan dibesarkan di sana. Itu semua perlu diambil kira kesannya jika tempat kelahiran mereka diambil alih. Pampasan bukan sekadar daripada segi fizikal, bahkan perlu difikir juga emosi penduduk yang sudah sebati dengan rutin harian terutama golongan nelayan.

"Terdapat segelintir penduduk yang mengalirkan air mata kerana mengenangkan nama kampung yang dihuni sekian lama akan lupus dari peta Malaysia suatu hari nanti dan digantikan dengan nama baru bersesuaian dengan projek berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis pertemuan dengan Badan Bertindak Penduduk Pengerang hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Perkasa negeri, Samad Atan dan Ketua Penerangan Perkasa negeri, Rosli Othman.

Syed Hassan berkata, permasalahan tersebut perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan Perdana Menteri adalah individu paling layak untuk bersua muka dengan penduduk di situ bagi menjelaskan langkah paling wajar untuk menanganinya.

Pada masa yang sama beliau berpendapat, terdapat segelintir 'orang dalam' yang tidak telus memainkan peranan dalam mengatasi isu pampasan tersebut dan disebabkan itu hingga kini ia tidak dapat diselesaikan.

"Melalui pemerhatian saya, penduduk di sini bukanlah golongan yang menolak pembangunan, tetapi mereka dipermainkan oleh individu yang menganggap mereka seperti tidak berkepentingan di kawasan itu.

"Atas faktor itu saya beranggapan penduduk mahukan sesuatu yang pasti iaitu yang keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment