My Add

Wednesday 24 October 2012

Polis buru kumpulan penyamun menyamar petugas awam

 GEORGETOWN, RABU, 24 Oktober, 2012: Polis sedang memburu sekumpulan penyamun yang memperdayakan orang ramai dengan menyamar sebagai petugas awam di Seberang Jaya, Kepala Batas, Pulau Tikus dan kawasan sekitar Bukit Mertajam.

Menyatakan demikian kepada pemberita di sini hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata modus operandi suspek ialah dengan menyamar sebagai petugas Tenaga Nasional, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Perbadanan Bekalan Air.

Mereka datang ke rumah mangsa dengan pelbagai alasan, katanya.

Beliau berkata, kegiatan jenayah itu dilakukan sekurang-kurangnya tiga individu dan mereka menjadikan warga emas dan suri rumah yang tinggal bersendirian sebagai sasaran.

Katanya, bermula Januari hingga 22 Oktober lalu, polis menerima enam laporan kes seumpamanya di kawasan tersebut melibatkan kerugian lebih RM55,000.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian seperti itu melaporkannya di balai polis berdekatan.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an dan merampas 10 pucuk senjata api tiruan dalam serbuan di sebuah kedai di Seberang Perai Tengah dekat sini, Isnin lalu.

Mazlan berkata hasil risikan dan maklumat awam, polis mendapati premis yang turut menjual aksesori dan pakaian ala perang itu telah beroperasi selama dua tahun.

"Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik premis itu membeli senjata api tiruan berkenaan secara dalam talian dan menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya.

Beliau berkata semua barang tiruan berkenaan dijual dengan harga serendah RM900 hingga RM3,000 dan diseludup dari luar negara.

Polis tidak menolak kemungkinan ia dibeli individu tertentu untuk melakukan jenayah.

Mazlan berkata keputusan ujian saringan narkotik mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan dia ditahan reman sehingga 5 November ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment