My Add

Tuesday 9 October 2012

Polis tumpas sindiket curi motosikal, jual menerusi Facebook

 JOHOR BAHRU, SELASA, 09 Oktober, 2012: Polis menumpaskan sindiket curi motosikal yang kemudian dijual menerusi laman sosial Facebook selepas menahan empat lelaki di sebuah rumah di Taman Murni, Kluang, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek berusia antara 21 dan 25 tahun termasuk seorang mekanik itu ditahan pada jam 6 petang susulan maklumat awam. 

"Polis percaya mereka terbabit dengan sembilan kes curi motosikal di sekitar daerah Kluang. Polis menerusi serbuan terbabit kemudian merampas satu motosikal yang sedang dileraikan, tujuh rangka, lima tempat duduk, lima ekzos, dua enjin, empat keping nombor pendaftaran serta empat kad Autopass ke Singapura," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar komponen dan kenderaan berkenaan kepada pembeli, aktif sejak Februari lalu.

Mereka dipercayai sudah menjual sekurang-kurangnya 10 motosikal kepada pembeli yang kebanyakannya pelajar di beberapa negeri termasuk Perlis, katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah.

Mengulas kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di Seri Alam, di sini, selepas menahan seorang lelaki dan dua wanita di sebuah rumah di sekitar kawasan berkenaan, Sabtu lalu. 

Beliau berkata, serbuan pada jam 7.20 malam itu berjaya menemui pelbagai hasil samun termasuk sebuah kereta, 11 telefon bimbit, empat televisyen, tiga komputer riba serta dua alat pemain DVD.

Kesemua suspek berumur 18 hingga 42 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini direman untuk siasatan mengikut Sekeyn 457 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment