My Add

Wednesday 24 October 2012

Rundingan FTA, TPP masih berjalan lancar: Mukhriz

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia-Eropah dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak ditangguhkan dan masih berjalan lancar, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya, rundingan itu memakan sedikit masa kerana kerajaan Malaysia mahu membentuk perjanjian yang berkualiti tinggi memandangkan perjanjian Doha tidak menjadi.

"Jadi, kita sepakat untuk mewujudkan satu FTA yang boleh bertahan lama dan mempunyai kualiti yang tinggi. Sebab itu kadang-kadang kita terpaksa memakan masa yang lama dengan niat untuk memastikan kepentingan negara kita terjamin," katanya ketika menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Kulasegaran ingin tahu mengenai kelembapan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat menyebabkan kerajaan menangguhkan FTA dan bila perjanjian itu akan ditandatangani.

Menurut Mukhriz, melalui TPP juga Malaysia menikmati imbangan perdagangan yang positif dan dengan adanya perjanjian FTA, akan lebih menjamin kelestarian imbangan positif negara.

"Sudah lebih 180 bulan kita menikmati imbangan perdagangan yang positif. Ini adalah satu rekod yang amat cemerlang," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, adalah penting untuk Malaysia terus terbabit dalam perundingan FTA, seperti TPP, kerana ia akan menjurus kepada satu perjanjian perdagangan yang meliputi seluruh rantau Asia Pasifik. 

Katanya, jika tidak terbabit lebih awal, kemungkinan Malaysia akan ketinggalan dan kepentingan negara dalam perjanjian itu tidak akan diberi keutamaan.

"Tujuan terbabit pada peringkat awal supaya kepentingan negara kita termaktub di dalam perjanjian itu di peringkat awal lagi supaya tidak jadi satu perkara di mana perjanjian sudah dimeterai tapi Malaysia menjadi negara yang ketinggalan dan kepentingan kita mungkin tidak diberi keutamaan dalam perjanjian yang telah ditandatangani oleh anggota yang lain," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata nilai dagangan antara Malaysia dan negara Eropah direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini berjumlah RM81.38 bilion, iaitu eksport sebanyak RM39.43 bilion dan import RM41.95 bilion.

Ini berkurangan 0.5 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM81.77 bilion, di mana eksport sebanyak RM44.27 bilion dan import RM37.5 bilion.

Katanya, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat dari Januari hingga Julai 2012 ialah RM63.91 bilion, menyusut 2.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan eksport bernilai RM35.17 bilion dan import RM28.74 bilion.

"Walaupun terdapat penurunan jumlah perdagangan dua hala, jumlah eksport Malaysia ke Amerika Syarikat telah meningkat 6.4 peratus untuk tempoh Januari hingga Julai 2012 berbanding tempoh yang sama pada 2011," katanya.

Mukhriz berkata, walaupun pertumbuhan eksport pasaran ke Eropah dan Amerika Syarikat perlahan, Malaysia masih berjaya meningkatkan jumlah eksport ke negara di pasaran lain seperti China, India dan negara di Asia Barat.

Katanya, eksport ke China meningkat 13.9 peratus daripada RM80.1 bilion dalam 2010 kepada RM91.2 bilion pada 2011, India sebanyak 34.6 peratus daripada RM20.9 bilion dalam tahun 2010 kepada RM28.2 bilion pada 2011 dan negara di Asia Barat sebanyak 27.8 peratus daripada RM43.9 bilion pada 2010 kepada RM56.1 bilion pada 2011.

"Strategi mempelbagaikan pasaran membantu mengurangkan impak Krisis Hutang Zon Euro serta kelembapan ekonomi Amerika ke atas prestasi keseluruhan eksport Malaysia.

"Eksport Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan pertumbuhan yang positif pada 2011, iaitu 8.7 peratus dan ia dijangka berterusan positif untuk 2012," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga terus memantau perkembangan Krisis Hutang Zon Euro dan langkah pemulihan ekonomi Amerika melalui pengumpulan dan penyampaian maklumat perdagangan dari pelbagai sumber.

Selain itu, katanya, usaha juga diteruskan untuk mempergiatkan pemasaran ke negara Eropah lain yang bukan negara zon Euro seperti Rusia, Republik Czech, Norway, Ukraine serta menumbuhkan pasaran di Afrika serta Asia Barat seperti Turki dan negara Teluk. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment