My Add

Wednesday 10 October 2012

Shahnon sedar hakikat perjuangan Pas - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Oktober, 2012; Tindakan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad mempertikaikan perjuangan Pas yang kini bersama dengan DAP, menunjukkan parti itu telah tersasar jauh daripada menuntut penubuhan sebuah negara Islam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Sasterawan Negara tersebut telah sedar tentang hakikat Pas yang semakin tersasar daripada perjuangan menegakkan Islam gara-gara terlalu tunduk dengan kehendak DAP.

Menurutnya, Shahnon kini dapat melihat matlamat sebenar Pas dalam pakatan pembangkang.

“Saya fikir Shahnon sudah sedar tentang apa yang Pas lakukan. Walaupun beliau tidak sihat, saya fikir Shahnon terpaksa nyatakan juga pendapatnya yang sebenar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sijil perkhidmatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan IJN Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Shahnon semalam tentang perjuangan politik Pas tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP.

Menurut Shahnon, tindakan Pas menuruti kehendak politik DAP bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuangkan Islam.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berupaya menarik sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

“Saya berpandangan bajet tersebut memang baik dan boleh meningkatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan," ujarnya.

Mengulas kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan beliau sebagai nyanyuk, Dr. Mahathir memberitahu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berhak untuk berkata apa sahaja. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment