My Add

Monday 22 October 2012

Siasat pemaju tiada lesen

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Oktober, 2012: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemaju perumahan tidak berlesen serta pegawai bank dan arkitek yang bersekongkol sehingga menyebabkan berlakunya projek rumah terbengkalai.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak terbabit perlu disiasat berikutan terdapat unsur penipuan berdasarkan aduan pembeli rumah berkenaan.

"Setakat ini PPIM menerima 6,000 aduan pembeli yang teraniaya di Selangor dan daripada jumlah itu 500 kes yang kami teliti mendapati mereka membeli rumah daripada tiga pemaju projek perumahan tidak berlesen pada 1990-an dan awal 2000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nadzim berkata, daripada 500 kes yang diteliti, PPIM mendapati kebanyakan kes itu berpunca pihak bank yang membuat pembayaran kepada pemaju projek perumahan walaupun mereka tidak berlesen.

"Masalah timbul apabila bank masih membayar kepada pemaju walaupun mereka tidak mempunyai lesen dan projek rumah tidak disiapkan.

"Mungkin ada penipuan di situ, rumah tak siap tapi pembeli masih perlu membayar kepada bank dan kini ada di kalangan mereka (pembeli rumah) yang diisytihar muflis walaupun rumah yang dibeli belum siap," katanya.

Berikutan itu, PPIM membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya kira-kira pukul 1.30 tengah hari ini terhadap pegawai bank, arkitek dan peguam yang didakwa menipu pembeli rumah projek terbengkalai.

Nadzim berkata, PPIM juga akan membuat laporan kepada SPRM dalam masa terdekat supaya mereka turut menyiasat.

"Ini hak pengguna yang perlu dikembalikan, jadi kita minta SPRM siasat juga siapa pegawai bank terbabit, peguam, arkitek supaya pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini didakwa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment